Selesai sudah ujian simpulan dan ikatan tali, kami semua bergegas pula ke padang bukit yang berdekatan dengan kolam renang untuk mengikuti amali Low Ropes Course. Kami kemudiannya berkumpul mengikut kumpulan masing-masing seperti kumpulan di Pulau Kapas dahulu. Kami beramai-ramai telah bantu membantu mengikat tali di setiap batang pokok yang sesuai untuk membuat beberapa jenis elemen Low Ropes Course. Ikatan tali mestilah kuat dan tegang agar tidak melendot ke bawah ketika melakukan titian dan gayutan pada tali. Oleh itu kami terpaksa mengeluarkan tenaga yang lebih untuk mencapai matlamat itu. Agak meriah juga pada pagi itu kerana semangat rakan-rakan yang tidak putus-putus berkerjasama mengikat tali seakan-akan bermain tarik tali pula lagaknya. Elemen-elemen Low Ropes Course yang telah kami siapkan pada ketika itu antaranya ialah:
1. Criss Cross
2. Monkey Cross
3. High Postman Walk dan
4. Forward Tension Traverse
Selesai menyiapkan beberapa jenis elemen, kami kemudian bergilir-gilir melakukan gayutan dan titian mengikut jenis elemen yang telah disediakan. Sebelum melakukan aktiviti ini kami hendaklah memakai helmet dan sarung tangan untuk tujuan keselamatan. Namun kami tidak dibenarkan jatuh walau seorang pun. Andai kata salah seorang dari kami jatuh, kami akan diarahkan supaya melakukan sekali lagi aktiviti ini kesemuanya semula. Oleh kerana tidak mahu melakukannya beberapa kali, kami telah bersepakat untuk saling bantu membantu diantara satu sama lain. Disamping itu juga, kami hendaklah bijak mengimbangkan badan ketika melakukan titian dan gayutan ini supaya tidak mudah terjatuh yang boleh mengakibatkan kecederaan. Atas berkat kerjasama oleh semua rakan-rakan,alhamdulillah, kami semua berjaya melakukan aktiviti ini dengan selamat dan jayanya. Terima kasih tidak terhingga kepada pelajar degree yang tidak jemu-jemu datang bersama-sama membantu kami disamping dapat mempelajari ilmu-ilmu ini dengan lebih mendalam serta dapat berkongsi pendapat. Selesai mengikuti amali ini, kami semua berkemas semula semua peralatan yang ada dan bersurai pada jam 2.00 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan