14 OGOS 2009 (JUMAAT)
(Perasmian Explore Kapas Experience Challenge)
0700 pagi – 0830 pagi
Hari ni bermulalah program amali perkhemahan akhir outdoor recreation yang amat ditunggu-tunggu oleh semua pelajar E-Pjj dan Plk-PDRM. Terasa hati makin berdebar-debar memikirkan detik-detik yang bakal terjadi dan yang akan terjadi sepanjang berada di sana. Apa yang berada di dalam pemikiranku ketika ini hanyalah satu iaitu ingin lebih mendalami ilmu rekreasi yang akan diperturunkan nanti. Namun rasa gelisah hati ini tetap ada apakah cabaran dan rintangan yang bakal ditempuhi. Cuma dipanjangkan doa dan harapan moga segala-galanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan perjalanan. Pagi ini awal-awal lagi aku sudah bangun mempersiapkan diri untuk menghadiri Majlis Perasmian Explore Kapas Experience Challenge 09 di falkulti Sains Sukan Dan Rekreasi. Tepat jam 8.00 aku mengorak langkah ke fakulti untuk sama-sama merasmikan Explore Kapas ini dengan menaiki motorsikal. Agak lewat juga aku sampai di fakulti memandangkan rakan-rakanku sudah sampai dari aku. Aku kemudiannya diberi sepasang baju korporat untuk dipakai semasa majis perasmian yang direka khas oleh pelajar Plk-PDRM.
0900 pagi – 1030 pagi
Akhirnya Majlis Perasmian Explore Kapas Challenge 09 telah memulakan perasmian dengan ucapan kata-kata aluan dari Timbalan Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi iaitu En Bob. Program pada kali ini telah dianjurkan oleh pelajar Bachelor Of Sport Management bersama-sama dengan Plk–PDRM dan E-Pjj Diploma In Sport Studies Uitm Shah Alam. Program akan bermula pada 14 Ogos 09 hinggalah 19 Ogos 09. Seramai 64 orang peserta terdiri dari 42 orang pelajar ijazah, 18 dari PLK – PDRM, 6 orang dari EPJJ, 3 orang pensyarah, 4 orang kakitangan pengiring dan 10 orang fasilitator. Majlis juga telah disempurnakan dengan ucapan dari pensyarah yang dihormati iaitu En Hisyam Che Mat. Seramai 22 orang pelajar diploma telah dipecahkan kepada 6 kumpulan yang terdiri dari 4 orang setiap kumpulan. Setiap kumpulan diminta meletakkan nama kumpulan yang diambil dari nama gunung-gunung di Malaysia. Agak menarik sekali bagi aku. Gunung apa ya? Selesai majlis kami kemudiannya diminta untuk sesi bergambar beramai-ramai untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan.
1030 pagi - 0130 petang
Selesai sahaja sesi bergambar, kami kemudian bergegas ke bilik stor peralatan rekreasi fakulti Sains Sukan dan Rekreasi yang berhampiran dengan pusat gymnasium. Sebanyak 4 buah trak PDRM telah menanti untuk proses memunggah barang. Kami kemudiannya bersama-sama memunggah barang-barang dan peralatan yang perlu dibawa nanti ke dalam trak. Cuaca yang agak terik pada hari itu membuatkan kami terasa keletihan. Namun kerja-kerja memunggah barang harus diteruskan. Aku dimaklumkan bahawa kerja-kerja memunggah barang telah mengambil masa sehingga pukul 2.00 petang. Setelah kerja-kerja pemunggahan barang-barang selesai, Aku, Ummi dan Joe bergegas pula ke Wisma Pkns untuk mencari beberapa lagi barang keperluan yang masih belum cukup untuk di bawa ke Pulau Kapas nanti.
0300 petang – 0900 malam
Setelah barang-barang keperluan sudah dicari, tepat jam 3.00 petang aku, Ummi dan Joe akhirnya pulang ke rumah masing-masing untuk mempersiapkan diri. Pening juga dibuatnya barang apa lagi yang perlu di bawa ke Pulau Kapas nanti. Sudah bermacam-macam keperluan yang aku sumbat dalam beg ni. Risau juga kalau keperluan sendiri tidak cukup nanti. Apa yang penting biar berlebih jangan berkurang sudah lah. Dalam pada aku mempersiapkan diri, hujan diluar rumah makin mencurah-curah lebatnya. Kalau dapat tidur seronoknya. Mahukan tidak dari pagi tadi tenaga ni asyik berkerja tanpa rehat. Tapi nanti dalam bas sudah tentu boleh tidur sepuas-puasnya. Jam 6.30 petang aku mula bergerak ke Stesen Minyak Shell di MRR2 Gombak untuk menunggu bas dari Uitm sampai. Aku, Ummi dan Joe telah berjanji dengan urusetia pengangkutan program untuk tunggu di sini. Keadaan di luar masih hujan dan agak sejuk. Kami bertiga hanya menunggu di dalam kereta sahaja. Akhirnya bas yang dinanti tiba dan kami bergerak ke Marang, Terengganu tepat jam 8.45 malam. Sepanjang perjalanan kami telah disajikan dengan suara-suara lemak merdu adik-adik yang berkaroake di dalam bas. Agak bingit juga suasana di dalam bas pada malam itu, tidak kurang juga yang sudah terlena dibuai mimpi-mimpi indah agaknya. Perjalanan masih diteruskan. Aku masih belum tidur. Kalau tidur pun asyik terganggu sahaja. Bila memikirkan keadaan bas yang ada kalanya terumbang-ambing semacam naik bot pula membuatkan aku tidak tenang tidur dibuatnya. Risaunya aku. Moga perjalanan pada malam itu berjalan dengan lancar dan selamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan