18 OGOS 2009 (SELASA)
(Survival, Malam BBQ, Malam Kebudayaan)
0100 pagi – 12.00 tengah hari
Kami kemudiannya memulakan kawalan malam secara bergilir-gilir. Pada mulanya kami berkawal secara berdua, dan yang lainnya berehat. Akhirnya secara berseorangan pula berkawal malam. Tiba giliranku, aku hanya mampu menghidupkan unggun api yang semakin padam. Hembus punya hembus tidak juga menyala. Kipas punya kipas pun tidak mahu. Pelik! Setiap kali api mula menyala, ianya akan padam. Begitulah setiap kali aku cuba menyalakan api. Bila keseorangan mulalah macam-macam yang difikirkan. Tapi aku cuba memberanikan diri dan tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan. Sesekali hatiku tidak keruan bila ada saja bunyi-bunyian yang kurang enak. Rakan-rakanku yang lain masih tidur. Letih agaknya. Bertawakal sahajalah aku keseorangan. Hampir sejam aku berkawal malam, dalam tempoh itu, dari kejauhan aku dapat rasakan ada orang yang datang ke khemah kami dengan sinaran cahaya lampu. Aku mengejutkan Abang Fauzi. Setelah kata laluan diberi rupanya En Hisyam, Cik Yazilah dan beberapa orang fasilitator datang menjenguk kami. Kami kemudiannya berbual buat seketika dan menceritakan sedikit pengalaman kami di sini dan kami juga telah diceritakan pengalaman rakan-rakan yang lain oleh En Hisyam. Seriau dibuatnya bila mendengar cerita dari En Hisyam yang mengatakan salah seorang dari rakanku menjerit-jerit. Kami hanya mampu minta dijauhkan dari semua itu. Selain dari itu, kami hanya berserah kepada tuhan. Aku dan Abang Fauzi meneruskan kawalan malam. Sambil berkawal kami berbual-bual kosong. Unggun api semakin mengecil, aku mula mencari beberapa lagi kayu api. Seriau juga mencari kayu api pagi-pagi buta. Seawal 6.00 pagi itu, rakan-rakanku yang lain mula bangun dari tidur. Ah! Perutku mula berbunyi. Laparnya. Bertahan sahajalah nampaknya sehingga siang. Sepanjang malam di dalam hutan, hari pun mula cerah. Tengah hari itu kami telah menikmati kelapa tua yang terdapat di dalam hutan. Itupun dicari oleh Abang Fauzi dan Syarifah. Lewat tengah hari itu juga kami didatangi oleh beberapa urusetia program yang datang menjenguk kami dan didatangi pula oleh En Hisyam, Cik Yazilah dan En Din. Kami telah diminta menceritakan pengalaman sedih sepanjang hidup kami. Suasana pilu mula menyelubungi kami dengan cerita-cerita yang begitu menyentuh perasaan. Sehinggakan air mataku hampir berderai. Ish! Itulah ada ketikanya cerita yang disimpan rapi boleh pecah dengan sendirinya bila hati mula ingin berkongsi dengan rakan yang lain.
0100 petang – 0400 petang
Penat sudah menghabiskan masa-masa kami di dalam hutan, akhirnya kami diminta keluar dari tempat perkhemahan kami lewat jam 03.30 petang itu. Wah! Saat yang ditunggu-tunggu. Kami diminta berkumpul di tepi pantai untuk sedikit taklimat dari fasilitator yang bertugas iaitu Cik Yazilah. Banyak sungguh pengalaman yang kami perolehi sepanjang berada di dalam hutan. Itulah yang dikatakan Ikthiar hidup. Berkerjasama di dalam kumpulan, menggunakan akal sebijak-bijaknya dan belajar menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling serta ketika susah dan senang. Terima kasih kepada Cik Yazilah kerana memberikan kami ilmu yang tidak terhingga banyaknya tentang Ikhtiar hidup. Ilmu yang diberikan tidak akan dipersia-siakan. Kami kemudiannya dibenarkan pulang ke tapak perkhemahan asal kami dengan melalui jalan hutan.
0430 petang – 0600 petang
Sampai sahaja di tapak perkhemahan, kami telah disajikan dengan hidangan bubur nasi dan jus oren sebagai santapan kami. Terima kasih kepada Kak Fauziah urusetia yang bertugas kerana sudi menyediakan kami hidangan yang sungguh sedap sekali. Masing-masing kelaparan membuatkan bubur nasi yang dihidangkan habis dikerjakan oleh kami. Letih semalaman berada di dalam hutan kami dibenarkan mengemaskan diri dan berehat buat seketika.
0700 malam – 0200 pagi
Lewat petang itu kami mula sibuk menyediakan bahan-bahan untuk malam BBQ. Aku dan rakan-rakan sibuk ke dapur menyediakan apa-apa yang patut. Aku sibuk menyiang udang bersama Abang Fauzi. Sesekali sempat pula bergambar. Selepas habis menyiang udang aku sibuk pula mengupas buah limau untuk dibuat jus pada malam nanti sehingga kuku ku menjadi luka dan kepedihan. Dalam pada itu sesi bergambar diantara rakan-rakan pasti ada membuatkan suasana pada malam itu sangat meriah. Sesudah mengupas limau aku mula menyibuk pula di ruang BBQ. Apabila sotong yang hendak dibakar terlalu besar takut pula lambat masak, aku mula memotong kembali sotong-sotong itu menjadi lebih kecil. Selesai BBQ dan memasak kami akhirnya menjamu selera beramai-ramai. Berselera sungguh kerana dapat menikmati hidangan seafood pada malam ini. Arghhh! Letih dibuatnya. Namun aku tetap rasa keseronokkannya. Malam itu kami telah mengadakan aktiviti ‘Malam Kebudayaan’. Setiap kumpulan telah diminta membuat persembahan masing-masing. Aku dari kumpulan ‘Tupai’ telah membuat persembahan ala-ala senaman sambil menyanyi. Kumpulanku telah meminta semua peserta pada malam itu melakukan senaman bersama kami. Meriah sungguh pada malam itu dengan beberapa persembahan menarik dari semua kumpulan. Selesai ‘Malam Kebudayaan’, majlis penutupan program telah disempurnakan oleh En Hisyam Che Mat dan beberapa fasilitator yang bertugas. Malam itu juga kami semua diminta mengemas kawasan penempatan kami kerana esok kami akan berangkat pulang. Kami mula bergotong royong pada malam itu sebelum beredar untuk merehatkan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan