Home

Isnin, 31 Ogos 2009

Explore Kapas Experience Challenge 09 (Part 2)

15 OGOS 2009 (SABTU)
(Ice Breaking, Management Games, Knotting, Kain Anduh, Pertolongan Cemas).

0100 pagi – 0500 pagi
Jam menunjukkan pukul satu tepat. Kami telah berhenti rehat di Hentian Rehat Temerloh untuk mengisi perut yang agak kelaparan dan membuang segala isi perut yang tersimpan. Aku dan Ummi sekadar meneguk air untuk menghilangkan rasa dahaga. Tidak tahu pula hendak makan apa lewat-lewat pagi ni. Terasa semacam hendak makan dan akhirnya Ummi sahaja yang menikmati kerang sambal keseorangan. Nikmatnya… Jam 1.45 pagi bas kemudiannya bergerak semula ke destinasi yang dituju. Pada jam 4.30 pagi bas yang kami naiki akhirnya tiba di Institut Perikanan Chendering, Terengganu. Di sini berlaku pula salah faham antara pihak Uitm dengan PDRM. Kami difahamkan bahawa kami akan berehat di Institut Perikanan ini sementara menunggu hari siang namun kami telah dihalang oleh pengawal di sini kerana tiada surat kebenaran hitam putih. Kami terpaksa menaiki bas dan mengangkut kembali barang-barang ke dalam bas. Dan akhirnya kami menuju ke masjid yang berdekatan untuk berehat sahaja di sana.

0700 pagi – 1200 tengah hari
Arghh…..laparnya perut aku ni. Bergendang-gendang perut aku dibuatnya. Malam tadi tak mahu makan sudahnya kebuluran pagi ni. Pagi itu, kami semua bersarapan di gerai makan yang berdekatan. Sebelum itu, kami semua dapat RM3 setiap seorang sebagai elaun sarapan pagi. Eh eh…aku pun dapat la. Terasa malu pulak dapat Rm3. Terima kasih! Sedapnya tidak terhingga lauk ku pagi ni. Nasi minyak dengan ayam masak tomato. Fuihh! Pagi-pagi dah pekena nasi minyak. Boleh tahan selera aku pagi ni. Kuikuikui… Selesai sarapan, kami semua melakukan senaman ringan. Aik! dah sarapan baru buat senaman. Nasib baik tak terkeluar balik nasi aku ni. Ish..ish. Selang beberapa minit kemudian, beberapa orang instructor datang menjenguk kami di masjid dan kami diminta bersiap sedia untuk ke jeti. Kami kemudiannya diminta berjalan kaki ke Institut Perikanan Chendering dengan terpaksa mengangkut barang-barang yang boleh tahan juga beratnya. Adush! berat jugak barang-barang ni. Apa boleh buat kami semua terpaksa mengangkut juga barang-barang ini sehingga ke Institut Perikanan memandangkan tidak disediakan pengangkutan. Jam 8.00 pagi kami kemudiannya beramai-ramai mengangkut barang-barang ke dalam trak PDRM untuk di bawa ke jeti. Kami juga memmunggah barang-barang di dalam trak tadi dan diletakkan serta disusun sebaiknya sementara dipunggah pula ke dalam bot. Bot tiba agak lewat pagi itu kerana menunggu sehingga air laut pasang. Jam 10.00 pagi baru lah tiba bot yang dinanti-nanti untuk proses pemunggahan barang. Setelah kerja-kerja pemunggahan barang-barang selesai, kami mula bergerak menaiki bot marin PDRM terus ke Pulau Kapas destinasi yang dituju. Cuaca pada pagi itu agak panas. Setibanya kami di Pulau Kapas, kami mula memunggah barang-barang keluar dari bot. Kami kemudian berjalan kaki menuju ke tapak perkehemahan yang sejauh lebih kurang 300 meter dari tempat kami turun dari bot. Sampai sahaja ke kawasan tapak perkhemahan, beberapa orang instructor telah bersedia menunggu kami sambil bercekak pinggang. Uihhh….gerunnya aku melihat mereka semua. Aku cuba kuatkan semangat apalah pula cabaran yang aku akan terima selepas ini. Bersiap sedia lah aku. Kami diarah meletakkan semua beg-beg dan juga barang-barang ke tepi pantai dan diminta melakukan tugas pertama. Kami diminta ke kawasan tapak perkhemahan untuk membuang semua tali-tali lama yang melilit di batang-batang pokok. Setelah semuanya selesai wisel pertama dibunyikan dan kami diminta berkumpul semula di tepi pantai. Kami diminta memasang khemah penempatan, khemah pusat, khemah peralatan, bilik mandi wanita dan membersihkan tandas. Selang beberapa minit kemudian wisel berbunyi lagi. Dan kali ini kami ditegur kerana lambat melakukan kerja-kerja yang diarahkan. Kami diberi lagi masa untuk mempersiapkan segalanya yang telah diarahkan. Semua orang menjadi kecut perut melihat wajah-wajah yang agak bengis itu. Kami sepantas kilat cuba melakukan yang terbaik pada hari itu sehinggalah selesai. Manakala aku dan beberapa orang lagi peserta telah diarah untuk memasak di dapur. Atas disebabkan kekalutan yang berlaku, kedengaran suara-suara ketidakpuasan hati dikalangan kami. Ramai yang memberontak pada tengah hari itu atas ketegasan instructor yang bertugas. Bagi aku pula, itu adalah tugas mereka. Oleh sebab itu, elok lah aku ikutkan sahaja semua arahan yang diberikan. Mungkin mereka ada sebabnya.
















0100 petang – 0400 petang
Menu kami pada tengah hari itu ialah ikan masak kicap, kangkung goreng, sambal belacan bersama ulaman, buah tembikai sebagai pemanis mulut serta air anggur sebagai pembasah tekak. Hurmmm…agak menyelerakan bagi ku. Tengah-tengah lapar sudah tentu apa sahaja yang dimasak nampak menyelerakan. Aku bersama-sama rakan-rakan yang lain terpaksa bertungkus lumus menyiapkan hidangan pada tengah hari itu memandangkan masa yang diberi terlalu singkat. Risau pula didenda nanti. Akhirnya hidangan siap terhidang di dalam talam yang disediakan. Unik bagi aku kerana kami semua akan makan beramai-ramai di dalam talam untuk setiap kumpulan. Inilah dinamakan tradisi bagi penggiat rekreasi ‘Perlu’ agaknya. Satu pengalaman baru bagiku dalam mengeratkan lagi tali silaturahim. Kami diberi masa selama 20 minit sahaja untuk makan. Agak kelam kabut dibuatnya keadaan pada waktu itu. Nasib tak tercekik dibuatnya. Selesai makan kami terpaksa pula bergegas ke tepi pantai untuk berkumpul semula untuk sedikit taklimat dari Fasilitator. Kami kemudian diperkenalkan dengan En Mazlin Bin Othman salah seorang fasilitator yang agak garang orangnya tapi comel juga. Haru dibuatnya pada waktu itu, memandangkan ada suara-suara ketidakpuasan hati dikalangan peserta. Oleh kerana ramai yang kurang senang dengan arahan yang diberikan kami telah diberi peluang untuk meluahkan perasaan masing-masing. Aku pula hanya mendiamkan diri. Aku akur dengan segala perintah dan arahan kerana aku pernah melaluinya sebelum ini. Mungkin inilah yang dinamakan cara-cara untuk mendisplinkan diri dari segi masa dan keadaan. Masa tidak mengejar kita, tapi kita yang akan mengejar masa kerana masa itu adalah emas dan kita tidak akan dapat apa yang dicari seandainya ia berlalu pergi begitu sahaja begitu jugalah dengan diri kita. Kami akhinya diberi masa secukupnya untuk mempersiapkan diri dan menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh. Aku, Ummi dan beberapa orang adik-adik terus menyelesaikan kerja-kerja memperbaiki bilik mandi kami yang tidak jauh dari penempatan khemah wanita. Arghhh….agak sedikit lega rasanya apabila segalanya selesai.

0500 petang – 0900 malam
Rimas dibuatnya dengan keadaan badan aku yang agak melekit. Aku kemudian nya pergi mempersiapkan diri untuk mandi seterusnya menunaikan solat dhuha dan maghrib. Malam itu sekali lagi aku turun ke ruang dapur untuk membantu memasak hidangan makan malam. Agak sedikit lewat aku turun ke dapur pada malam itu kerana mempersiapkan diri dan aku kemudiannya mengambil alih tugas dari rakan lain untuk memasak. Menu pada malam itu agak menarik. Terliur dibuatnya dengan masakan tom yam, telur dadar dan ulaman sebagai penambah selera, buah limau sebagai pemanis mulut serta air sirap yang menyelerakan. Selesai memasak, kami semua menikmati hidangan dengan penuh selera. Suasana makan malam ketika itu, senyap seketika mungkin masing-masing tengah lapar agaknya termasuklah aku. Aku hanya tersenyum.

0930 malam – 0200 pagi
Setelah semuanya kekenyangan, kami diminta berkumpul di khemah pusat untuk sesi taklimat dan beberapa aktiviti yang akan dilakukan. Aktiviti pertama kami pada malam itu telah dihoskan oleh pelajar Bachelor Of Sport Management iaitu aktiviti ‘Ice Breaking’. Aktiviti ini sama seperti sesi suai kenal. Kami diminta memperkenalkan diri masing-masing dengan ekspresi wajah dan gaya penuh emosi. Suasana agak riuh pada malam itu dengan gelagat para peserta. Lucu sungguh dibuatnya. Aktiviti seterusnya, kami telah bermain permainan yang dinamakan ‘Management Games’. Agak menarik permainan ini yang membuatkan keadaan menjadi riuh dan gamat dengan gelak ketawa dari para peserta. Bila difikirkan semacam kebudak-budakkan pula permainan yang diberikan. Aku layan sahaja dan yang penting aku seronok pada malam itu. Selesai permainan, kami telah diperkenalkan dengan semua fasilitator yang terlibat pada program kali ini. Seorang demi seorang telah memperkenalkan diri. Malam itu aku telah dikenakan oleh salah seorang fasilitator. Ya Allah! Malunya aku pada malam itu. Beliau memperkenalkan diri sebagai ‘Rahsia’. Aku hanya menatap wajah beliau penuh minat untuk mengetahui siapakah beliau dan akhirnya aku ditanya soalan cepu emas iaitu berikan nama penuh beliau siap nama bapa sekali. Ah! Sudah, habis aku. Sudah tentu aku tidak tahu kerana beliau langsung tidak beritahu nama penuh beliau. Sememangnya aku tidak boleh memberikan jawapan. Terkulat-kulat aku dibuatnya. Terdengar juga suara sumbang dari kejauhan yang memarahi aku kerana tidak boleh memberikan jawapan. Salah kah aku? Aku jadi bingung. Aku duduk betul-betul dihadapan beliau. Kalau beliau beritahu namanya sudah tentu aku tahu. Arghh….pedulikan kata-kata mereka. Apa boleh buat terima sahaja apa yang dikata. Kami akhirnya didenda oleh beliau iaitu diminta menyanyi lagi Jalur Gemilang beramai-ramai sambil menari. Geli hati juga dibuatnya. Rasa seronok pun ada. Akhirnya beliau memperkenalkan diri sebagai Mohd Hazriq Bin Abu Zarin. Uihhh….nampak orangnya lembut sahaja tapi boleh tahan juga tegasnya. Hihihihi…malunya aku.
Selesai ‘Management Games’ kami seterusnya ke kelas ‘Knotting’ yang diajar oleh En Mohd Elham Bin Mohd Sayuti. Kami telah diajar cara-cara pelbagai jenis ikatan tali. Kami dipecahkan mengikut kumpulan dan diadakan seolah-olah pertandingan. Setiap wakil dari kumpulan diminta membuat satu jenis ikatan dan diambil masanya. Kumpulan yang cepat dan betul kemudiannya diberi markah. Kelam kabut dibuatnya ketika itu. Masing-masing berlumba-lumba untuk menang. Bertuah sungguh kami pada malam itu kerana dapat belajar dengan lebih mendalam cara-cara ikatan tali. Selesai kelas ‘Knoting’ kelas ‘Pertolongan Cemas – First Aid’ pula menyusul. En Mazlin Bin Othman pula telah mengambil alih tugas menerangkan kepada kami tentang apa itu pertolongan cemas. Selain dari itu kami diberi penerangan tentang ‘Alat pemadam api’ dan tanda-tanda serta kesan terhadap serangan jantung. Penamat kelas pada malam itu kami telah diajar tentang ikatan ‘Kain Anduh’. Kelas ini diambil alih oleh fasilitator seterusnya iaitu En Mohamad Yasir Foo Bin Mohamad Foo. Antara ikatan kain anduh yang telah diajar pada malam itu ialah Lange Arm sling, Hand Dressing, Cuff & Collar dan juga ikatan Donat. Kelas akhirnya tamat tepat pada jam 2.00 pagi. Kami mula beransur pulang ke khemah masing-masing untuk berehat dan tidur. Tapi aku pula terpaksa berjaga pada pagi itu kerana giliran kawalan malam (sentri). Aduh…beratnya mata aku pagi itu. Oleh kerana aku ada tanggung jawab pada pagi itu aku gagahkan juga diri ini untuk sama-sama membantu berkawal malam. Dan akhirnya dapat juga aku rehatkan diri pada pukul 4.00 pagi. Dapatlah juga aku lelapkan mata walau sekejap.




Tiada ulasan: