17 OGOS 2009 (ISNIN)
(Ekspedisi Berkayak, Snorkelling, Survival)
0600 pagi – 0230 petang
Seperti biasa awal pagi aku sudah bangun, membersihkan diri, solat dan membantu menyiapkan makanan di dapur. Dalam masa yang sama kami juga menyiapkan nasi goreng dan sandwich sebagai bekalan sewaktu aktiviti berkayak pada pagi ini. Setelah bersarapan kami melakukan senaman ringkas bagi persediaan ekspedisi berkayak. Ekspedisi berkayak pada kali ini, aku telah berpasangan dengan Kak Kamisah. Manakala Sharifah Noor bersama dengan Abang Fauzi. Kami kemudiannya bergerak perlahan-lahan menaiki kayak ke tengah laut dan diminta melakukan ‘Rafting’. Setelah semuanya berada di dalam satu kumpulan kami telah diberi sedikit penerangan oleh En Hisyam Che Mat. Ekspedisi kami pada pagi ini ialah berkayak mengelilingi Pulau Kapas dan akan berhenti di beberapa kawasan untuk melakukan aktiviti ‘Snorkelling’. Sememangnya aku fobia pada laut sudah tentu hatiku berdebar-debar dan sentiasa berhati-hati ketika mengemudi kayak. Mujurlah Kak Kamisah banyak membantuku memberikan kata-kata semangat supaya aku tidak mudah mengalah. Ada ketikanya aku terpaksa berhenti berehat dari kayuhan kerana kedua belah tanganku kebas dan lenguh-lenguh. Namun aku terpaksa meneruskan kayuhanku untuk terus sampai ke destinasi yang ditujui. Aku juga tidak mahu dikatakan mementingkan diri sendiri dan oleh kerana itu aku kuatkan semangatku untuk teruskan kayuhan. Pada hari itu cuaca agak panas terik. Alamat bertambah hitam lah kulitku nanti. Kami akhirnya sampai di sebuah teluk untuk berehat serta melakukan aktiviti ‘Snorkelling’. Disebabkan peralatan tidak mencukupi untuk semua peserta, kami bergilir-gilir melakukan aktiviti ‘Snorkelling’. Aku tidak sabar melakukan ‘Snorkelling’ namun aku agak kecewa kerana saiz kakiku tidak muat pada ‘Full Foot Fin’ walaupun pada size yang paling kecil. Akhirnya aku hanya memakai kasutku sendiri. Aku pun memulakan aktiviti ‘Snorkelling’. Seperti biasa pada awal hendak masuk ke dalam air aku agak gementar sehingga aku diberi tunjuk ajar oleh En Hazriq. Malunya aku. Asal air je aku mesti mengelabah walaupun aku sudah beberapa kali pergi ke laut melakukan aktiviti yang sama di tempat lain. Pada awalnya aku dibantu oleh rakan kumpulanku Syarifah Noor, namun aku terlepas seorang diri selepas itu dan akhirnya aku keseorangan melakukan aktiviti ‘Snorkelling’ dan bersaing pula dengan rakan yang lain. Wahhhh….seronoknya bersnorkelling dengan keindahan dasar laut yang tidak terkata. Puas bersnorkelling, kami berkayak semula sehingga ke Pantai Gemia. Cantik sungguh pemandangan di sini. Setengah jam kemudian kami meneruskan perjalanan pulang. Sebelum sampai ke tapak pekhemahan, kami telah melakukan ‘capsize’ secara beramai-ramai. Kami diberi masa hanya 8 minit untuk naik semula ke atas kayak. Akibat ada rakan lain yang terlebih masa, kami terpaksa melakukan ‘capsize’ buat kali kedua. Mengelabah juga dibuatnya. Atas usaha dan kerjasama semua, akhirnya kami berjaya melakukan ekspedisi berkayak pada hari itu. Sampai di tapak perkhemahan, memasak apa yang ada kami dijamukan dengan hidangan kari ikan, sayur goreng serta teh-o.
0400 petang – 1200 tengah malam
Berehat buat seketika, kami kemudiannya diminta melakukan persediaan untuk aktiviti seterusnya iaitu ‘Survival’. Kami diminta berkumpul di tepi pantai untuk sedikit penerangan oleh fasilitator seterusnya iaitu ‘Cik Yazilah Binti Mohd Sayuti’. Kami hanya dibenarkan membawa hanya sebuah beg ‘day pack’ sahaja bagi setiap kumpulan. Di dalam beg itu pula kami hanya dibenarkan membawa baju sejuk setiap seorang, kain anduh setiap seorang, satu lampu suluh dan kain telekung. Manakala kami telah dibekalkan oleh pihak urusetia dengan sepasang jaket keselamatan, ground sheet, sebilah parang, dua bekas mastin, sedikit beras, sebiji kentang, dua biji telur, sedikit garam, serbuk kopi, teh, dua botol air mineral dan lima batang mancis sahaja. Hanya barang-barang itu sahaja dibenarkan untuk meneruskan hidup kami sepanjang di dalam hutan nanti. Kumpulanku kemudiannya ditinggalkan di belakang sebuah rumah pam air. Agak bersemak juga kawasan di sini. Kami mula membersihkan kawasan dengan menebas rumput dan akar-akar yang melingkar di setiap kawasan sekitar supaya mudah untuk kami berkhemah. Aku mula mencari kayu api seberapa yang banyak. Manakala Abang Fauzi dan Kak Kamisah sibuk mendirikan khemah seada yang mampu. Belajar ikatan tali tidak kami sia-siakan. Kami gunakan cara-cara ikatan tali untuk mendirikan kanvas dengan ranting-ranting pokok halus. Syarifah pula mula menghidupkan unggun api. Hari semakin gelap, kami mula memasak apa yang yang diberikan. Kami hanya berbumbungkan kanvas dan berlantaikan daun-daun hutan sebagai penempatan kami di sini. Api semakin marak. Syukur kerana kami tidak menggunakan mancis yang banyak. Kalau tidak bergelap dan berlaparlah kami. Alhamdulillah aku mendapat sebuah kumpulan yang saling tolong menolong. Duduk di dalam hutan membuatkan tekak masing-masing agak kehausan. Namun air yang dibekalkan harus dihadkan. Masing-masing hanya mampu minum seteguk setiap seorang. Alahai! Sedihnya. Selesai makan, kami hanya berbual-bual kosong. Menceritakan perihal masing-masing. Hurm....seronok juga berbual-bual sambil menceritakan pengalaman hidup masing-masing. Sesekali kami ketawa bersama-sama. Kami berbual-bual hingga tidak sedar hari sudah jauh malam. Sesekali terdengar bunyi-bunyian yang agak asing pada kami. Kami hanya menganggap tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. Namun sesekali gerun juga dibuatnya seolah-olah ada mahkluk lain yang berada disekitar kami. Kami hanya mampu bertawakal dan memohon agar diberikan perlindungan dari sebarang kejadian yang tidak diingini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan