Home

Isnin, 31 Ogos 2009

Explore Kapas Experience Challenge 09 (Part 3)

16 OGOS 2009 (AHAD)
(Navigasi, Jungle Trekking, Water Confidence, Abseiling, Night Orienteering)

0600 pagi – 0900 pagi

Seawal pagi aku bangun mengemaskan diri, mandi sebersihnya dan solat subuh. Kedinginan pagi ini membuatkan aku sedikit kesejukkan. Selesai solat aku dan rakan-rakan se ‘khemah’ terus mengintai ruang dapur untuk melihat seandainya masih ada kerja-kerja yang belum diselesaikan. Aku sempat juga membantu sisa-sisa kerja di dapur yang masih belum selesai. Nasi goreng serta teh-o menjadi santapan kami pada pagi ini. Membantu kerja dapur seberapa yang ada, aku dan rakan-rakan yang lain seterusnya pergi ke tepi pantai untuk mengikuti senamrobik dan beberapa sukan pantai bersama adik-adik. Setelah semuannya kekeyangan, kami diminta ke khemah pusat untuk sesi taklimat kelas ‘Navigasi’ dan ‘Jungle Trekking’ yang di ajar oleh pensyarahku sendiri iaitu En Hisyam Bin Che Mat. Kami kemudiannya diberi kompas dan peta setiap kumpulan dan diajar cara menggunakan peta dan kompas dengan betul. Setelah sesi taklimat selesai, kami telah dibahagikan kepada 3 kumpulan di mana kumpulan aku telah digabungkan bersama dengan kumpulan 1. Aku bersama ahli kumpulan 4 yang terdiri daripada aku sendiri, Abang Fauzi, Kak Kamisah dan juga Sharifah Noor. Manakala ahli kumpulan 1 pula terdiri daripada Aslina, Khairul, Brian dan Kak Zamzami. Kami telah diiringi oleh seorang fasilitator iaitu En Mohamad Hafiz Bin Handran yang berasal dari Sarawak. Sebelum memulakan aktiviti ini, semua kumpulan telah melakukan sedikit senaman ringan bagi mengelakkan kekejangan otot sewaktu melakukan ‘Jungle Trekking’ selama berada di dalam hutan. Kami juga sempat menyanyi beramai-ramai lagu ‘Senyum’ sebagai pencetus semangat sepanjang perjalanan nanti. Sewaktu perjalanan, kami telah diberikan peta Pulau Kapas dan kompas sebagai panduan serta dibekalkan dengan nasi goreng, roti dan air mineral untuk mengalas perut.

0930 pg – 0130 tengah hari
Setelah semuanya telah bersedia kami akhirnya mula bergerak dari starting point tepat jam 9.45 pagi. Check point kami yang pertama ialah ke Pulau Dedap. Kami telah diberi peluang setiap seorang secara bergilir-gilir oleh En Hafiz untuk mencuba membaca kompas dan mengira langkah. Seterusnya kami terus ke check point yang kedua iaitu ke Manara Api. Untuk ke Menara Api kami telah melalui Stesen Sistem Solar Hibrid Pulau Kapas seterusnya melalui Kapas Turtle Valley dan akhirnya terpaksa menaiki tangga yang agak tinggi untuk menjejak Menara Api. Agak semput juga pernafasan masing-masing untuk sampai ke puncak. Akhirnya sampai juga kami ke Menara Api. Sempat pula bergambar walaupun dengan keadaan cuaca panas dan keletihan. Kami kemudiannya menuju ke check point seterusnya iaitu ke Pasir Panjang. Sewaktu bergerak ke Pasir Panjang kami telah tersesat. Nasib kami tersedar agak awal dan memulakan kembali langkah kami mencari check point seterusnya. Kalau tidak sudah tentu semakin jauh perjalanan kami. Perjalanan diteruskan dan kami sedikit keliru dengan keadaan muka bumi dengan gambaran di dalam peta. Mungkin kami tersesat lagi. Akhirnya kami terpaksa menggunakan khidmat pemilik chalet di situ untuk mencari check point seterusnya dan berjaya menemuinya. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Teluk Gemia. Perjalanan kami ketika itu amat lancar dan kerjasama yang diberikan oleh ahli kumpulan ternyata amat memberansangkan. Ternyata sikap tolong menolong antara satu sama lain memainkan peranan penting dalam kerja berpasukan. Laluan di dalam hutan ada kalanya menyukarkan pergerakkan kami, namun atas semangat yang diberikan kami akhirnya selamat sampai ke destinasi ditujui iaitu Teluk Gemia. Sampai sahaja di sini, kami telah bertemu dengan pelajar ‘degree’ sedang melakukan snorkeling setelah letih dan berehat selepas ekspedisi kayak. Kami kemudiannya berhenti berehat seketika sambil menikmati nasi goreng dan roti yang telah dibekalkan sebagai pengisi perut yang agak kelaparan. Selesai berehat, kami bergerak kembali untuk meneruskan perjalanan ke check point seterusnya dan akhirnya kembali ke tapak perkhemahan tepat pada pukul 1.30 tengah hari. Sebelum beredar En Hafiz telah melakukan ‘Post Mortem’ sepanjang perjalanan kami tadi. Bersyukur kepada tuhan kami semuanya selamat sampai dan berjaya menyempurnakan misi kami pada hari ini walaupun kami tidak sempat ke puncak 105. Terima kasih kepada En Hafiz kerana menurunkan segala ilmu tentang navigasi ini dengan seilkhlas hati. Beliau juga banyak membantu kami pada hari itu dan tanpa beliau mungkin kami sudah lama tersesat. Kami kemudiannya berehat seketika sementara menunggu kumpulan lain sampai di tapak perkhemahan. Dalam pada kami berehat-rehat kami telah dimaklumkan oleh En Hisyam bahawa sebentar lagi kami akan melakukan satu lagi ujian iaitu ‘Water Confidence’. Alamak inilah satu-satunya ujian yang amat aku geruni. Mahu tidaknya, aku ni penakut sungguh dengan air. Aku hanya memohon agar aku berada di dalam keadaan selamat nanti.
















0230 petang – 0400 petang
Kini tibalah masanya ujian yang dinanti-nantikan oleh semua peserta. Kami semua diminta bersiap sedia untuk melakukan ‘Water Confidence’. Sebelum melakukan ‘Water Confidence’ kami telah diberi penerangan serba ringkas oleh fasilitator seterusnya iaitu En Mohamad Rafsan Bin Saadun. Kami akan di bawa ke tengah laut, dan akan dicampakkan seorang demi seorang ke laut dalam jarak yang berbeza antara satu sama lain. Kami kemudiannya akan mencari rakan-rakan sekumpulan dan berenang ke tepian pantai bersama-sama. Aku kumpulan 4 adalah kumpulan pertama yang akan di bawa ke tengah lautan untuk melakukan ujian ini. Kami di bawa menaiki bot dan akulah orang pertama yang melakukan terjunan ke dalam laut. Aku hanya mampu berisgtifar semoga dipermudahkan cabaran ku pada hari ini. Jarak kami untuk ke tepian pantai adalah lebih kurang sejauh 2 kilometer. Terasa sayup-sayup sahaja pemandangan ke arah pantai. Perjuangan mesti diteruskan dan Alhamdulillah aku dibantu oleh rakan sekumpulanku untuk sama-sama berenang. Aku diajar cara-cara berenang oleh rakanku iaitu Sharifah Noor. Tidak ketinggalan, Abang Fauzi dan Kak Kamisah juga banyak membantuku dengan memberi kata-kata semangat. Cuaca panas terik telah menyukarkan ku untuk berenang secara telentang. Aku hanya mampu memejamkan mata kerana tidak tahan dengan pancaran cahaya matahari yang amat terik pada petang itu. Akhirnya kami berjaya sampai di tepian pantai tanpa sebarang kecederaan dan kemalangan yang boleh memudaratkan.



0400 petang – 0700 malam
Selesai melakukan ‘Water Confidence’ kami kemudiannya diminta mempersiapkan diri untuk aktiviti seterusnya iaitu ‘Abseiling’. Kami telah diberi penerangan oleh fasilitator seterusnya iaitu En Mohamad Yasir Foo Bin Mohamad Foo tentang aktiviti ini. Kami terus mengambil peralatan abseiling yang telah disediakan dan menuju ke lokasi aktiviti. En Yasir Foo bersama En Mohd Raziff yang turut membantu telah mencari lokasi aktiviti yang bersesuaian. Namun kami dimaklumkan bahawa lokasi yang dicari tidak berapa sesuai dengan aktiviti ini. Ini adalah kerana permukaan dinding batu yang mudah retak dan pecah serta keadaan bukit yang agak merbahaya. Akhirnya aktiviti ‘Abseiling’ pada petang itu terpaksa dibatalkan dan kami hanya di ajar teorinya sahaja selepas ini. Kami seterusnya pulang ke tapak perkhemahan dan terus ke kelas teori ‘Abseiling’ bertempat di khemah pusat. Segala peralatan untuk ‘Abseiling’ telah tersedia untuk diberi penerangan tentang fungsi-fungsinya. Apabila semua kumpulan berada di khemah pusat, kami kemudiannya telah diberi penerangan tentang apa itu ‘Abseiling’, cara-cara pengendalian, penggunaan peralatan serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil. Salah seorang rakanku telah menjadi model yang dibantu oleh En Yasir Foo. Ianya bertujuan untuk menunjukkan kepada kami cara-cara pengendalian ‘Abseiling’ dengan lebih terperinci dan membuatkan kami lebih faham konsepnya.
















0700 malam – 0100 pagi
Selesai teori ‘Abseiling’ kami bersurai dan mempersiapkan diri untuk mandi, mengemas diri serta solat. Setelah semuanya selesai, seperti biasa Aku, Ummi akan mengintai ke ruang dapur untuk membantu apa-apa yang patut. Malam ini kami telah disajikan dengan lauk ayam goreng berlada, sayur goreng campur, buah-buahan serta air anggur. Selesai menikmati hidangan kami meneruskan aktiviti ‘Post Mortem’ bersama En Hisyam Che Mat untuk aktiviti petang tadi iaitu Navigasi dan Jungle Trekking. Kami diminta menceritakan pengalaman masing-masing. Bersemangat betul kami menceritakan pengalaman yang diperolehi lewat petang tadi. Pengalaman yang diperolehi tidak mungkin aku dapat lupakan terutama aktiviti ‘Water Confidence’ kerana pengalaman sebegini tidak akan dapat di mana-mana tempat sekalipun. Aktiviti seterusnya kami telah menyambung kembali kelas ikatan ‘Kain Anduh’ yang ada beberapa lagi jenis ikatan yang tidak sempat dipelajari. kami kemudiannya meneruskan aktiviti ‘Orienteering’ versi ‘Lemak Manis’. Kami telah diberi klu berbentuk pantun pada setiap kumpulan untuk mencari jawapan. Setelah jawapan yang dicari ditemui kami terpaksa pula berbalas pantun dengan pihak penganjur sambil menyanyi lagu lemak manis. Lawan punya lawan tidak juga betul-betul jawapan yang diberi. Apalah agaknya jawapan sebenarnya. Pening bila memikirkannya. Puas memikirkan apa jawapannya, akhirnya jawapan yang diberikan betul dan orang yang dicari-cari tidak lain ialah Cik Siti Farah Halina Binti Mohd Redzuan. Alahai….chek manis oiii….payahnya kami dok mencari-cari hang sorang ni. Kumpulanku sepantas kilat melangkah mencari jawapan seterusnya. Dan hasilnya atas berkat kerjasama dan tolong menolong sesama kami akhirnya kami kumpulan pertama yang berjaya menjumpai harta karun yang dicari-cari.
Aktiviti sebegini amat menguji akal fikiran dan kecekapan kami. Strategi kumpulan juga amat penting dan semangat setiakawan mesti ada. Walau bagaimanapun aku amat terhibur dengan aktiviti sebegini. Satu pengalaman baru bagiku.

Lemak manis.....alah amboi2x.....
santan kelapa.... alah amboi2x..
Kupandanglah manis... ala amboi2x...
anak siapa.........

Selesai sudah aktiviti kami pada malam itu yang semakin menginjak ke awal 3.00 pagi. Kami akhirnya bersurai untuk berehat dan tidur di khemah masing-masing.


Tiada ulasan: