19 OGOS 2009 (RABU)
(Penutup program, Berangkat pulang)
0600 pagi – 1200 tengah hari
Seawal pagi kami mula menyiapkan diri, memasak untuk sarapan pagi dan mengemas semua peralatan yang belum selesai dikemas malam semalam. Kami mula bersarapan bihun goreng dan air teh-o sebagai pengisi perut. Sesudah bersarapan, sekali lagi kami mula merobohkan khemah-khemah penempatan dan membersihkan kembali tapak perkhemahan sebelum berangkat pulang. Sampah-sampah yang menimbun juga telah dibuang ditempat yang disediakan. Setelah semuanya selesai dikemas, kami mula mengangkut segala peralatan, beg-beg peserta dan barang-barang lainnya ke tepi pantai dan disusun sementara menunggu bot pengangkut barang. Kayak-kayak juga telah disusun di tepi pantai untuk di tarik dan dipunggah ke dalam bot. Sementara menunggu bot pengangkut barang-barang, kami sempat bergambar beramai-ramai untuk dijadikan kenangan terakhir. Akhirnya bot pengangkut barang sampai dan kami mula berkerjasama mengangkut barang-barang ke dalam bot. Selepas semuanya telah diangkut ke dalam bot, kami mula bergerak ke jeti untuk menaiki bot pulang ke darat. Sebelum itu, kami sekali lagi beramai-ramai mengangkut semua kayak-kayak ke dalam bot. Kami akhirnya menaiki bot PDRM dan berangkat pulang ke darat. Masing-masing mula melayan perasaan sambil menikmati pemandangan indah Pulau Kapas yang telah ditinggalkan. Ada juga yang sudah terlena sewaktu perjalanan. Mungkin keletihan agaknya termasuk lah aku sehinggakan gambarku ketika tidur telah dirakam. Ish! Malunya. Tiba di darat sekali lagi kami telah berkerjasama memunggah barang-barang ke dalam trak untuk di bawa pulang.
0100 petang – 1100 malam
Selesai memunggah barang, Aku, Ummi, Hadi dan Brian telah sepakat untuk menumpang bas PDRM untuk pulang. Sepanjang perjalanan, suasana agak sepi mungkin kerana melayan perasaan masing-masing tentang pengalaman di Pulau Kapas. Sepanjang berada di Pulau Kapas, aku dapat merasakan pahit-manis, suka-duka dan segala pengalaman dan memori diperolehi disini. Aku berasa begitu puas kerana dapat menyertai aktiviti Explore Kapas Experience Challenge 2009 bersama rakan-rakan yang lain dengan pelbagai ilmu. Aku bersyukur dan rasa bertuah kerana dapat melihat dan merasai keakraban diantara rakan-rakan seperti sebuah keluarga terutamanya dari E-PJJ dan PLK-PDRM terutamanya ahli kumpulanku yang terdiri daripada Abang Fauzi, Kak Kamisah dan Sharifah Noor. Mengenali kalian adalah sesuatu yang sangat seronok. Segala bantuan dan kerjasama kalian amatlah dihargai dan dikenang sampai bila-bila. Tanpa bantuan dan nasihat kalian, aku mungkin tidak dapat menimba pengalaman baru dalam kehidupanku. Terima kasih tidak terhingga untuk kalian semua. Tidak lupa kepada pensyarahku yang banyak berkorban untuk kami semua yang tidak jemu-jemu memberikan kami segala ilmu yang ada, fasilitator yang banyak membantu, urusetia yang sama-sama berkerjasama dan juga rakan-rakan sekalian. Sepanjang perjalanan aku hanya dibuai kenangan-kenangan sepanjang berada di Pulau Kapas. Akhirnya kami semua tiba di Kuala Lumpur tepat jam 11.00 malam. Berakhirlah perkhemahanku pada kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan