Home

Rabu, 28 Oktober 2009

Terbang tinggi di udara....Amali Flying Fox....

Selesai sudah amali ‘Flying Fox’ bagi pelajar Epjj dan PLK-PDRM yang telah diadakan pada 24 Oktober 09 yang lalu. Lokasi bertempat di padang belakang Pusat Kolam Renang, Uitm. Amali ‘Flying Fox’ pada hari itu bermula pada pukul 8.30 pagi. Namun aku tiba di lokasi yang dimaksudkan agak lewat pada hari itu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Mujur setibanya aku di padang, mereka yang tiba awal dari aku baru sahaja memulakan aktiviti amali ini. Jadi tidaklah aku tertinggal seorang diri. Ketika aku sampai di padang, ramai pelajar lelaki sedang cuba mengikat tali pada batang pokok yang sesuai. Untuk mengikat tali pada batang pokok, kami terpaksa memerlukan tenaga yang ramai kerana tali yang diikat memerlukan ketegangan yang maksima serta simpulan yang kuat. Ianya adalah untuk mengelakkan daripada tali mengendur ke bawah ketika melakukan aktiviti ini. Dalam pada itu, ianya bertujuan untuk mengelakkan daripada sebarang risiko yang boleh mendatangkan bahaya dan kecederaan pada peserta.

Apabila tali siap dipasang, seorang yang bertindak sebagai 'Stopper' perlu berada di bawah untuk mengawal pergerakkan peserta. Ianya bertujuan untuk menjaga keselamatan para peserta dan untuk memberhentikan peserta dari pengelungsuran untuk sampai ke penamat. Bagi tujuan itu, tali perlu dipasang dibahagian yang menghampiri penghujung tali yang sedia tergantung dengan memasang dua ‘carabineer’ disetiap dua tali yang menghubungkan dengan tali gayutan. Untuk melakukan aktiviti ini , peralatan yang diperlukan adalah sama seperti aktiviti ‘Abseiling’, cuma ada beberapa peralatan tambahan yang diperlukan iaitu ‘Pulley’ dan ‘Sling’. ‘Pulley’ adalah alat yang dijadikan seperti roda yang digunakan untuk memudahkan pengelungsuran ketika melakukan aktiviti ini. Manakala ‘Sling’ digunakan sebagai pemegang kedua belah tangan untuk memudahkan peserta bergayut. Tidak dapat aku menganggarkan berapakah ketinggian dan jarak untuk ‘Flying Fox’ ini, namun keadaan tali yang tergantung pada dua batang pokok yang agak tinggi sudah cukup membuatkan hatiku berdebar-debar untuk melakukannya. Sebelum melakukan aktiviti ini, kami diwajibkan memakai harnest, helmet dan sarung tangan untuk langkah keselamatan.

Akhirnya tibalah giliranku untuk melakukan aktiviti ini. Aku terpaksa menapak naik ke atas bukit untuk ke tempat permulaan. Aku kemudiannya berdiri membelakangi sebatang pokok besar yang menuju ke arah penghujung dan telah dibantu oleh dua orang pelajar degree untuk memasang tali yang tersedia di badanku dan pada tali yang sedia tergantung. Sebelum melakukan pengelungsuran, aku wajib melaporkan diri kepada petugas yang berada di bawah bahawa aku telah bersedia untuk melakukannya. Apabila telah bersedia, aku melangkah perlahan-lahan dan apabila terasa diri telah tergantung, aku terus sahaja menaikkan punggung dan kaki membentuk huruf L supaya lebih mudah dan selamat dan terus sahaja mengelungsur. Terasa seperti aku berada di awangan sahaja ketika melakukan ‘flying fox’ ini. Seolah – olah aku terbang di angkasa. Wahhhh…..seronoknya walaupun ada juga cuaknya. Namun, baru sahaja aku terasa keseronokkannya, tiba-tiba sahaja aku diberhentikan dengan mendadak oleh ‘Belayed’ di bawah. Terkejut aku dibuatnya. Rupanya ada antara pelajar yang ingin tahu bagaimana jika hendak memberhentikan seseorang yang sedang melakukan pengelungsuran. Jadi aku lah yang menjadi demonya. Alhamdulillah akhirnya aku berjaya melakukan aktiviti ‘Flying Fox’ ini dengan selamatnya. Terima kasih kepada semua yang telah banyak membantu kami dalam menjayakan aktiviti ini. Kami mula bersurai meninggalkan padang tepat pada pukul 2.00 petang. Ini adalah aktiviti amali kami yang terakhir sebelum memulakan peperiksaan akhir nanti. Semoga ilmu-ilmu yang telah kami pelajari dan pengalaman yang diperolehi sepanjang mengikuti mata pelajaran ‘Outdoor Recreation’ ini dapat mempermudahkan kami menduduki peperiksaan akhir nanti. Insya’allah.

Selasa, 27 Oktober 2009

Ujian Ikatan Tali & Amali Low Ropes Course

Pada 10 Oktober 09 yang lalu aku telah mengikuti Amali Low Ropes Course bersama pelajar PLK-PDRM bertempat di padang belakang pusat kolam renang, UITM. Kelas telah bermula pada jam 8.30 pagi. Seperti biasa aku bersama rakan-rakan dari Epjj seramai 5orang telah menghadirkan diri pada hari itu. Sesampai sahaja kami di lokasi yang dimaksudkan, kami telah diminta untuk mempraktikkan teknik-teknik ikatan tali kerana pada pagi itu juga kami dimaklumkan oleh En Hisyam kami semua akan menduduki ujian ikatan dan simpulan tali. Kami kemudian telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Seterusnya kami telah diarahkan untuk membuat beberapa jenis simpulan dan ikatan tali dengan mengikut masa yang telah ditetapkan. Selesai membuat ikatan dan simpulan tali, tali yang telah siap diperiksa oleh pemeriksa dan diberi markah. Keadaan menjadi kelam kabut pada ketika itu kerana masing-masing mengejar masa yang diberikan agar tidak terlambat. Ada juga dikalangan kami yang tidak sempat langsung membuat ikatan dan masih terkial-kial mencari teknik yang betul.
Selesai sudah ujian simpulan dan ikatan tali, kami semua bergegas pula ke padang bukit yang berdekatan dengan kolam renang untuk mengikuti amali Low Ropes Course. Kami kemudiannya berkumpul mengikut kumpulan masing-masing seperti kumpulan di Pulau Kapas dahulu. Kami beramai-ramai telah bantu membantu mengikat tali di setiap batang pokok yang sesuai untuk membuat beberapa jenis elemen Low Ropes Course. Ikatan tali mestilah kuat dan tegang agar tidak melendot ke bawah ketika melakukan titian dan gayutan pada tali. Oleh itu kami terpaksa mengeluarkan tenaga yang lebih untuk mencapai matlamat itu. Agak meriah juga pada pagi itu kerana semangat rakan-rakan yang tidak putus-putus berkerjasama mengikat tali seakan-akan bermain tarik tali pula lagaknya. Elemen-elemen Low Ropes Course yang telah kami siapkan pada ketika itu antaranya ialah:

1. Criss Cross













2. Monkey Cross











3. High Postman Walk dan











4. Forward Tension Traverse











Selesai menyiapkan beberapa jenis elemen, kami kemudian bergilir-gilir melakukan gayutan dan titian mengikut jenis elemen yang telah disediakan. Sebelum melakukan aktiviti ini kami hendaklah memakai helmet dan sarung tangan untuk tujuan keselamatan. Namun kami tidak dibenarkan jatuh walau seorang pun. Andai kata salah seorang dari kami jatuh, kami akan diarahkan supaya melakukan sekali lagi aktiviti ini kesemuanya semula. Oleh kerana tidak mahu melakukannya beberapa kali, kami telah bersepakat untuk saling bantu membantu diantara satu sama lain. Disamping itu juga, kami hendaklah bijak mengimbangkan badan ketika melakukan titian dan gayutan ini supaya tidak mudah terjatuh yang boleh mengakibatkan kecederaan. Atas berkat kerjasama oleh semua rakan-rakan,alhamdulillah, kami semua berjaya melakukan aktiviti ini dengan selamat dan jayanya. Terima kasih tidak terhingga kepada pelajar degree yang tidak jemu-jemu datang bersama-sama membantu kami disamping dapat mempelajari ilmu-ilmu ini dengan lebih mendalam serta dapat berkongsi pendapat. Selesai mengikuti amali ini, kami semua berkemas semula semua peralatan yang ada dan bersurai pada jam 2.00 petang.







Ujian Bertulis Sps133 & Amali Abseiling





















Sambutan Hari Raya sudah pun berakhir.Hari ini bermula lah kembali aku mengikuti kelas seterusnya sekaligus telah menduduki ujian bertulis untuk subjek SPS 133. Hari ini 4 Oktober 09 kelas ku bermula agak lewat iaitu pada jam 10.30 pagi. Alhamdullilah kelasku masih mengekalkan rekod kehadiran yang memberansangkan. Cuma Hadi yang tidak dapat hadir pada hari itu atas masalah kesihatan yang tidak mengizinkan. Semput juga nak menjawab soalan-soalan yang diberikan. Maklum lah persediaan untuk menghadapi ujian pada hari itu hanya ala kadar sahaja. Padan lah dengan muka sendiri. Walau macam mana pun dapatlah juga aku menjawab dengan keadaan tenang...hehehe..Selesai kami menduduki ujian bertulis pada pagi itu, seperti biasa En Hisyam telah mengajar kami silibus yang seterusnya iaitu silibus yang terakhir untuk seminar yang kelima bertajuk Introduction to Abseiling. Kami telah diajar teori-teori tentang abseiling, cara-cara pengendalian abseiling, cara-cara melakukan abseiling dan juga kami telah ditunjukkan jenis-jenis peralatan yang digunakan untuk melakukan aktiviti ini. Peralatan-peralatan yang diperlukan ialah:
1. Kernmantle ropes
2. Harness
3. Carabiner
4. Quickdraw
5. Figure 8
6. Helmet
7. Slings
8. Ascenders
9. Rope Bag
10. Chalk Bag
Selesai mengikuti teorinya kami telah melakukan amalinya di Bangunan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi sahaja. Amali ini hanya lah khusus bagi kami yang tidak dapat hadir pada 10 September 09 yang lalu. Hanya aku,ummi dan abg khairy sahaja yang perlu melakukan amali abseiling ini. Walaupun tidak tinggi seperti mereka yang telah melakukannya pada 3 minggu yang lalu, namun kami masih tetap menyimpan sedikit perasaan gerun ketika melakukan aktiviti ini. Syukur kami bertiga berjaya melakukan aktiviti abseiling ini dengan jayanya. Ketika melakukan aktiviti ini, kami telah dibantu oleh 2 orang pelajar degree yang sangat baik hati memberikan kami tips-tips yang amat berguna sekali ketika melakukan aktiviti sebegini. Terima kasih kepada mereka yang banyak membantu kami pada hari itu. Akhirnya kelas kami tamat pada pukul 1.30 tengah hari pada hari itu dengan jayanya.



Rabu, 23 September 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri...



Alhamdulillah, sempurna sudah Ramadhan pada kali ini dan bermulalah Syawal yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Walaupun sudah masuk Hari Raya yang keempat pada hari ini, namun belum terlambat rasanya saya ingin memberikan sedikit ucapan kepada semua yang mengenaliku. Dan dikesempatan ini, ingin sekali saya memohon seribu keampunan kepada kalian semua jika terdapat salah dan silap selama perkenalan kita sama ada yang tidak disengajakan atau pun tidak sengaja. Saya juga mengharapkan semoga segala makan dan minum saya selama ini dapatlah kiranya dihalalkan. Justeru itu, pada bulan yang baik, hari yang indah di sini saya mengucapkan 'SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN' kepada pensyarahku yang dihormati iaitu En Hisyam Che Mat, semua rakan-rakan yang disayangi terdiri dari rakan E-pjj terutama sekali kepada Ummi, Joe, Hadi dan Abang Khairy dan tidak lupa rakan-rakan dari PLK-PDRM. Kepada Brian, akan ku ucapkan padamu pada hari raya mu nanti ya...jika kamu bercuti ku ucapkan selamat bercuti, dan jika kamu berkerja ku ucapkan selamat berkerja...kerja rajin-rajin ok. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan yang bersama-sama berhempas pulas di Pulau Kapas yang lalu iaitu fasilitator yang dihormati dan adik-adik yang dikasihi...Semoga bergembira di Hari Raya ini, berhati-hati di jalan raya, dan jangan lupa jaga makan ok.

JIKA ADA LANGKAH YANG MENOREH HATI,
ADA TINGKAH MEMBEKAS LUKA,
ADA LISAN YANG TAK TERJAGA,
ADA JANJI YANG TAK TERTUNAI,
ADA HATI YANG BERPRASANGKA,SERTA UCAPAN BERBUNGA YANG DUSTA,
ADA TANGAN YANG TERAMBIL DAN MULUT TERMAKAN TERMINUM,
MOHON KEMAAFAN ZAHIR DAN BATIN,
SEMOGA DI TERIMA SEGALA AMALAN KITA DAN DIAMPUN DOSA KITA,
SALAM IDUL FITRI....
DARI AZLINA SEKELUARGA....
AMIN...!!!

Amali Orienteering

Hari ini adalah hari kedua umat Islam berpuasa...Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar...kebetulan juga hari ini adalah seminar yang keempat kuliah kami. Kami semua telah menjalani amali orienteering selama 2 jam di kawasan parking Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Uitm pada 23 September 09 yang lalu. Kami semua telah diajar cara-cara mengendalikan sukan orienteering ini oleh pensyarahku iaitu En Hisyam. Alhamdulillah kami semua telah berjaya mempraktikkan semua langkah-langkah sehinggalah sampai ke arah sasaran yang dituju. Seawalnya, kami telah dibahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama iaitu Gerak Gempur terdiri daripada Hadi, Joe dan Abg Khairy. Manakala Kumpulan kedua iaitu Naga Berapi terdiri daripada Aku sendiri, Ummi dan Brian. Bersemangat sekali kami pada pagi itu dan tidak sabar-sabar untuk mencuba mengendalikan sukan ini. Hehehehe... Kami kemudiannya dibekalkan dengan kompas, empat keping kad manila, marker pen dan pita pelekat. Seterusnya kami mula berpecah mencari titik permulaan hinggalah ke titik sasaran. Langkah pertama, kami harus tahu di mana titik permulaan atau kedudukan asal sebelum bergerak dan mencari sasaran di mana kami harus fokus kepada sesuatu objek kekal sebagai sasaran. Kami kemudiannya menggunakan kompas dan menentukan arah utara terlebih dahulu serta mengenal pasti di mana kedudukan arah utara sebelum memulakan langkah. Kami seterusnya menggunakan kompas dalam menentukan bacaan kedudukan arah sasaran. Kami mula bergerak ke kedudukan sasaran dengan membuat kiraan langkah kaki bagi tujuan mendapatkan jarak antara kedudukan asal dengan kedudukan sasaran. Kemudian, kami bertiga mula berbincang dalam membuat keputusan yang tepat dan akhirnya membuat catatan pada kad manila serta melekatkan catatan itu di tempat yang selamat iaitu pada objek yang kekal bagi tujuan rujukan untuk kembali ke kedudukan asal. Kami kemudiannya bertukar-tukar klu sesama kumpulan yang telah dibuat dan memulakan langkah mencari sasaran. Akhirnya kumpulanku Naga Berapi telah berjaya mengatasi kumpulan Gerak Gempur dengan catatan masa 5 minit sahaja. Kesimpulannya, kami amat berpuas hati dengan pembelajaran kami pada kali ini kerana berjaya melakukan amali orienteering dengan jayanya. Terima kasih pada En Hisyam atas ilmu yang telah diberikan. Sukan Orienteering sememangnya memerlukan penelitian yang tepat terutamanya apabila membaca peta dan kompas. Justeru itu seseorang itu perlu mahir dan peka dalam mengendalikan sukan ini.




Ahad, 6 September 2009

Cebisan Memori Di Pulau Kapas...

Alhamdulillah, akhirnya siap juga catatan perjalanan, suka duka, pahit manis, memori dan secebis pengalamanku sepanjang mengikuti program Explore Kapas Experience Challenge 09 yang diadakan di Pulau Peranginan, Pulau Kapas, Terengganu. Maaf di pohon kerana agak lambat melayangkan catatanku di dalam blog ku ini atas disebabkan masa dan kemudahan yang agak terhad. Atas nasihat pensyarahku yang dihormati supaya mengemaskini blog masing-masing dalam jangka masa yang terdekat akhirnya inilah hasilku setakat ini. Segala nasihat yang diberikan beliau akan ku cuba sedaya upaya dan bertungkus lumus untuk melaksanakannya. Insya'allah dalam masa yang terdekat, akan ku cuba mencuri sedikit peluang dan masaku agar aku dapat lebih mengambil berat akan tujuan penghasilan blog ini dengan menambah koleksi pengalaman ku tentang dunia rekreasi.

Isnin, 31 Ogos 2009

Explore Kapas Experience Challenge 09 (Part 6)

19 OGOS 2009 (RABU)
(Penutup program, Berangkat pulang)

0600 pagi – 1200 tengah hari

Seawal pagi kami mula menyiapkan diri, memasak untuk sarapan pagi dan mengemas semua peralatan yang belum selesai dikemas malam semalam. Kami mula bersarapan bihun goreng dan air teh-o sebagai pengisi perut. Sesudah bersarapan, sekali lagi kami mula merobohkan khemah-khemah penempatan dan membersihkan kembali tapak perkhemahan sebelum berangkat pulang. Sampah-sampah yang menimbun juga telah dibuang ditempat yang disediakan. Setelah semuanya selesai dikemas, kami mula mengangkut segala peralatan, beg-beg peserta dan barang-barang lainnya ke tepi pantai dan disusun sementara menunggu bot pengangkut barang. Kayak-kayak juga telah disusun di tepi pantai untuk di tarik dan dipunggah ke dalam bot. Sementara menunggu bot pengangkut barang-barang, kami sempat bergambar beramai-ramai untuk dijadikan kenangan terakhir. Akhirnya bot pengangkut barang sampai dan kami mula berkerjasama mengangkut barang-barang ke dalam bot. Selepas semuanya telah diangkut ke dalam bot, kami mula bergerak ke jeti untuk menaiki bot pulang ke darat. Sebelum itu, kami sekali lagi beramai-ramai mengangkut semua kayak-kayak ke dalam bot. Kami akhirnya menaiki bot PDRM dan berangkat pulang ke darat. Masing-masing mula melayan perasaan sambil menikmati pemandangan indah Pulau Kapas yang telah ditinggalkan. Ada juga yang sudah terlena sewaktu perjalanan. Mungkin keletihan agaknya termasuk lah aku sehinggakan gambarku ketika tidur telah dirakam. Ish! Malunya. Tiba di darat sekali lagi kami telah berkerjasama memunggah barang-barang ke dalam trak untuk di bawa pulang.

0100 petang – 1100 malam
Selesai memunggah barang, Aku, Ummi, Hadi dan Brian telah sepakat untuk menumpang bas PDRM untuk pulang. Sepanjang perjalanan, suasana agak sepi mungkin kerana melayan perasaan masing-masing tentang pengalaman di Pulau Kapas. Sepanjang berada di Pulau Kapas, aku dapat merasakan pahit-manis, suka-duka dan segala pengalaman dan memori diperolehi disini. Aku berasa begitu puas kerana dapat menyertai aktiviti Explore Kapas Experience Challenge 2009 bersama rakan-rakan yang lain dengan pelbagai ilmu. Aku bersyukur dan rasa bertuah kerana dapat melihat dan merasai keakraban diantara rakan-rakan seperti sebuah keluarga terutamanya dari E-PJJ dan PLK-PDRM terutamanya ahli kumpulanku yang terdiri daripada Abang Fauzi, Kak Kamisah dan Sharifah Noor. Mengenali kalian adalah sesuatu yang sangat seronok. Segala bantuan dan kerjasama kalian amatlah dihargai dan dikenang sampai bila-bila. Tanpa bantuan dan nasihat kalian, aku mungkin tidak dapat menimba pengalaman baru dalam kehidupanku. Terima kasih tidak terhingga untuk kalian semua. Tidak lupa kepada pensyarahku yang banyak berkorban untuk kami semua yang tidak jemu-jemu memberikan kami segala ilmu yang ada, fasilitator yang banyak membantu, urusetia yang sama-sama berkerjasama dan juga rakan-rakan sekalian. Sepanjang perjalanan aku hanya dibuai kenangan-kenangan sepanjang berada di Pulau Kapas. Akhirnya kami semua tiba di Kuala Lumpur tepat jam 11.00 malam. Berakhirlah perkhemahanku pada kali ini.

Explore Kapas Experience Challenge 09 (Part 5)

18 OGOS 2009 (SELASA)
(Survival, Malam BBQ, Malam Kebudayaan)

0100 pagi – 12.00 tengah hari
Kami kemudiannya memulakan kawalan malam secara bergilir-gilir. Pada mulanya kami berkawal secara berdua, dan yang lainnya berehat. Akhirnya secara berseorangan pula berkawal malam. Tiba giliranku, aku hanya mampu menghidupkan unggun api yang semakin padam. Hembus punya hembus tidak juga menyala. Kipas punya kipas pun tidak mahu. Pelik! Setiap kali api mula menyala, ianya akan padam. Begitulah setiap kali aku cuba menyalakan api. Bila keseorangan mulalah macam-macam yang difikirkan. Tapi aku cuba memberanikan diri dan tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan. Sesekali hatiku tidak keruan bila ada saja bunyi-bunyian yang kurang enak. Rakan-rakanku yang lain masih tidur. Letih agaknya. Bertawakal sahajalah aku keseorangan. Hampir sejam aku berkawal malam, dalam tempoh itu, dari kejauhan aku dapat rasakan ada orang yang datang ke khemah kami dengan sinaran cahaya lampu. Aku mengejutkan Abang Fauzi. Setelah kata laluan diberi rupanya En Hisyam, Cik Yazilah dan beberapa orang fasilitator datang menjenguk kami. Kami kemudiannya berbual buat seketika dan menceritakan sedikit pengalaman kami di sini dan kami juga telah diceritakan pengalaman rakan-rakan yang lain oleh En Hisyam. Seriau dibuatnya bila mendengar cerita dari En Hisyam yang mengatakan salah seorang dari rakanku menjerit-jerit. Kami hanya mampu minta dijauhkan dari semua itu. Selain dari itu, kami hanya berserah kepada tuhan. Aku dan Abang Fauzi meneruskan kawalan malam. Sambil berkawal kami berbual-bual kosong. Unggun api semakin mengecil, aku mula mencari beberapa lagi kayu api. Seriau juga mencari kayu api pagi-pagi buta. Seawal 6.00 pagi itu, rakan-rakanku yang lain mula bangun dari tidur. Ah! Perutku mula berbunyi. Laparnya. Bertahan sahajalah nampaknya sehingga siang. Sepanjang malam di dalam hutan, hari pun mula cerah. Tengah hari itu kami telah menikmati kelapa tua yang terdapat di dalam hutan. Itupun dicari oleh Abang Fauzi dan Syarifah. Lewat tengah hari itu juga kami didatangi oleh beberapa urusetia program yang datang menjenguk kami dan didatangi pula oleh En Hisyam, Cik Yazilah dan En Din. Kami telah diminta menceritakan pengalaman sedih sepanjang hidup kami. Suasana pilu mula menyelubungi kami dengan cerita-cerita yang begitu menyentuh perasaan. Sehinggakan air mataku hampir berderai. Ish! Itulah ada ketikanya cerita yang disimpan rapi boleh pecah dengan sendirinya bila hati mula ingin berkongsi dengan rakan yang lain.

0100 petang – 0400 petang
Penat sudah menghabiskan masa-masa kami di dalam hutan, akhirnya kami diminta keluar dari tempat perkhemahan kami lewat jam 03.30 petang itu. Wah! Saat yang ditunggu-tunggu. Kami diminta berkumpul di tepi pantai untuk sedikit taklimat dari fasilitator yang bertugas iaitu Cik Yazilah. Banyak sungguh pengalaman yang kami perolehi sepanjang berada di dalam hutan. Itulah yang dikatakan Ikthiar hidup. Berkerjasama di dalam kumpulan, menggunakan akal sebijak-bijaknya dan belajar menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling serta ketika susah dan senang. Terima kasih kepada Cik Yazilah kerana memberikan kami ilmu yang tidak terhingga banyaknya tentang Ikhtiar hidup. Ilmu yang diberikan tidak akan dipersia-siakan. Kami kemudiannya dibenarkan pulang ke tapak perkhemahan asal kami dengan melalui jalan hutan.

0430 petang – 0600 petang
Sampai sahaja di tapak perkhemahan, kami telah disajikan dengan hidangan bubur nasi dan jus oren sebagai santapan kami. Terima kasih kepada Kak Fauziah urusetia yang bertugas kerana sudi menyediakan kami hidangan yang sungguh sedap sekali. Masing-masing kelaparan membuatkan bubur nasi yang dihidangkan habis dikerjakan oleh kami. Letih semalaman berada di dalam hutan kami dibenarkan mengemaskan diri dan berehat buat seketika.

0700 malam – 0200 pagi
Lewat petang itu kami mula sibuk menyediakan bahan-bahan untuk malam BBQ. Aku dan rakan-rakan sibuk ke dapur menyediakan apa-apa yang patut. Aku sibuk menyiang udang bersama Abang Fauzi. Sesekali sempat pula bergambar. Selepas habis menyiang udang aku sibuk pula mengupas buah limau untuk dibuat jus pada malam nanti sehingga kuku ku menjadi luka dan kepedihan. Dalam pada itu sesi bergambar diantara rakan-rakan pasti ada membuatkan suasana pada malam itu sangat meriah. Sesudah mengupas limau aku mula menyibuk pula di ruang BBQ. Apabila sotong yang hendak dibakar terlalu besar takut pula lambat masak, aku mula memotong kembali sotong-sotong itu menjadi lebih kecil. Selesai BBQ dan memasak kami akhirnya menjamu selera beramai-ramai. Berselera sungguh kerana dapat menikmati hidangan seafood pada malam ini. Arghhh! Letih dibuatnya. Namun aku tetap rasa keseronokkannya. Malam itu kami telah mengadakan aktiviti ‘Malam Kebudayaan’. Setiap kumpulan telah diminta membuat persembahan masing-masing. Aku dari kumpulan ‘Tupai’ telah membuat persembahan ala-ala senaman sambil menyanyi. Kumpulanku telah meminta semua peserta pada malam itu melakukan senaman bersama kami. Meriah sungguh pada malam itu dengan beberapa persembahan menarik dari semua kumpulan. Selesai ‘Malam Kebudayaan’, majlis penutupan program telah disempurnakan oleh En Hisyam Che Mat dan beberapa fasilitator yang bertugas. Malam itu juga kami semua diminta mengemas kawasan penempatan kami kerana esok kami akan berangkat pulang. Kami mula bergotong royong pada malam itu sebelum beredar untuk merehatkan diri.

Explore Kapas Experience Challenge 09 (Part 4)

17 OGOS 2009 (ISNIN)
(Ekspedisi Berkayak, Snorkelling, Survival)

0600 pagi – 0230 petang
Seperti biasa awal pagi aku sudah bangun, membersihkan diri, solat dan membantu menyiapkan makanan di dapur. Dalam masa yang sama kami juga menyiapkan nasi goreng dan sandwich sebagai bekalan sewaktu aktiviti berkayak pada pagi ini. Setelah bersarapan kami melakukan senaman ringkas bagi persediaan ekspedisi berkayak. Ekspedisi berkayak pada kali ini, aku telah berpasangan dengan Kak Kamisah. Manakala Sharifah Noor bersama dengan Abang Fauzi. Kami kemudiannya bergerak perlahan-lahan menaiki kayak ke tengah laut dan diminta melakukan ‘Rafting’. Setelah semuanya berada di dalam satu kumpulan kami telah diberi sedikit penerangan oleh En Hisyam Che Mat. Ekspedisi kami pada pagi ini ialah berkayak mengelilingi Pulau Kapas dan akan berhenti di beberapa kawasan untuk melakukan aktiviti ‘Snorkelling’. Sememangnya aku fobia pada laut sudah tentu hatiku berdebar-debar dan sentiasa berhati-hati ketika mengemudi kayak. Mujurlah Kak Kamisah banyak membantuku memberikan kata-kata semangat supaya aku tidak mudah mengalah. Ada ketikanya aku terpaksa berhenti berehat dari kayuhan kerana kedua belah tanganku kebas dan lenguh-lenguh. Namun aku terpaksa meneruskan kayuhanku untuk terus sampai ke destinasi yang ditujui. Aku juga tidak mahu dikatakan mementingkan diri sendiri dan oleh kerana itu aku kuatkan semangatku untuk teruskan kayuhan. Pada hari itu cuaca agak panas terik. Alamat bertambah hitam lah kulitku nanti. Kami akhirnya sampai di sebuah teluk untuk berehat serta melakukan aktiviti ‘Snorkelling’. Disebabkan peralatan tidak mencukupi untuk semua peserta, kami bergilir-gilir melakukan aktiviti ‘Snorkelling’. Aku tidak sabar melakukan ‘Snorkelling’ namun aku agak kecewa kerana saiz kakiku tidak muat pada ‘Full Foot Fin’ walaupun pada size yang paling kecil. Akhirnya aku hanya memakai kasutku sendiri. Aku pun memulakan aktiviti ‘Snorkelling’. Seperti biasa pada awal hendak masuk ke dalam air aku agak gementar sehingga aku diberi tunjuk ajar oleh En Hazriq. Malunya aku. Asal air je aku mesti mengelabah walaupun aku sudah beberapa kali pergi ke laut melakukan aktiviti yang sama di tempat lain. Pada awalnya aku dibantu oleh rakan kumpulanku Syarifah Noor, namun aku terlepas seorang diri selepas itu dan akhirnya aku keseorangan melakukan aktiviti ‘Snorkelling’ dan bersaing pula dengan rakan yang lain. Wahhhh….seronoknya bersnorkelling dengan keindahan dasar laut yang tidak terkata. Puas bersnorkelling, kami berkayak semula sehingga ke Pantai Gemia. Cantik sungguh pemandangan di sini. Setengah jam kemudian kami meneruskan perjalanan pulang. Sebelum sampai ke tapak pekhemahan, kami telah melakukan ‘capsize’ secara beramai-ramai. Kami diberi masa hanya 8 minit untuk naik semula ke atas kayak. Akibat ada rakan lain yang terlebih masa, kami terpaksa melakukan ‘capsize’ buat kali kedua. Mengelabah juga dibuatnya. Atas usaha dan kerjasama semua, akhirnya kami berjaya melakukan ekspedisi berkayak pada hari itu. Sampai di tapak perkhemahan, memasak apa yang ada kami dijamukan dengan hidangan kari ikan, sayur goreng serta teh-o.

0400 petang – 1200 tengah malam
Berehat buat seketika, kami kemudiannya diminta melakukan persediaan untuk aktiviti seterusnya iaitu ‘Survival’. Kami diminta berkumpul di tepi pantai untuk sedikit penerangan oleh fasilitator seterusnya iaitu ‘Cik Yazilah Binti Mohd Sayuti’. Kami hanya dibenarkan membawa hanya sebuah beg ‘day pack’ sahaja bagi setiap kumpulan. Di dalam beg itu pula kami hanya dibenarkan membawa baju sejuk setiap seorang, kain anduh setiap seorang, satu lampu suluh dan kain telekung. Manakala kami telah dibekalkan oleh pihak urusetia dengan sepasang jaket keselamatan, ground sheet, sebilah parang, dua bekas mastin, sedikit beras, sebiji kentang, dua biji telur, sedikit garam, serbuk kopi, teh, dua botol air mineral dan lima batang mancis sahaja. Hanya barang-barang itu sahaja dibenarkan untuk meneruskan hidup kami sepanjang di dalam hutan nanti. Kumpulanku kemudiannya ditinggalkan di belakang sebuah rumah pam air. Agak bersemak juga kawasan di sini. Kami mula membersihkan kawasan dengan menebas rumput dan akar-akar yang melingkar di setiap kawasan sekitar supaya mudah untuk kami berkhemah. Aku mula mencari kayu api seberapa yang banyak. Manakala Abang Fauzi dan Kak Kamisah sibuk mendirikan khemah seada yang mampu. Belajar ikatan tali tidak kami sia-siakan. Kami gunakan cara-cara ikatan tali untuk mendirikan kanvas dengan ranting-ranting pokok halus. Syarifah pula mula menghidupkan unggun api. Hari semakin gelap, kami mula memasak apa yang yang diberikan. Kami hanya berbumbungkan kanvas dan berlantaikan daun-daun hutan sebagai penempatan kami di sini. Api semakin marak. Syukur kerana kami tidak menggunakan mancis yang banyak. Kalau tidak bergelap dan berlaparlah kami. Alhamdulillah aku mendapat sebuah kumpulan yang saling tolong menolong. Duduk di dalam hutan membuatkan tekak masing-masing agak kehausan. Namun air yang dibekalkan harus dihadkan. Masing-masing hanya mampu minum seteguk setiap seorang. Alahai! Sedihnya. Selesai makan, kami hanya berbual-bual kosong. Menceritakan perihal masing-masing. Hurm....seronok juga berbual-bual sambil menceritakan pengalaman hidup masing-masing. Sesekali kami ketawa bersama-sama. Kami berbual-bual hingga tidak sedar hari sudah jauh malam. Sesekali terdengar bunyi-bunyian yang agak asing pada kami. Kami hanya menganggap tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. Namun sesekali gerun juga dibuatnya seolah-olah ada mahkluk lain yang berada disekitar kami. Kami hanya mampu bertawakal dan memohon agar diberikan perlindungan dari sebarang kejadian yang tidak diingini.

Explore Kapas Experience Challenge 09 (Part 3)

16 OGOS 2009 (AHAD)
(Navigasi, Jungle Trekking, Water Confidence, Abseiling, Night Orienteering)

0600 pagi – 0900 pagi

Seawal pagi aku bangun mengemaskan diri, mandi sebersihnya dan solat subuh. Kedinginan pagi ini membuatkan aku sedikit kesejukkan. Selesai solat aku dan rakan-rakan se ‘khemah’ terus mengintai ruang dapur untuk melihat seandainya masih ada kerja-kerja yang belum diselesaikan. Aku sempat juga membantu sisa-sisa kerja di dapur yang masih belum selesai. Nasi goreng serta teh-o menjadi santapan kami pada pagi ini. Membantu kerja dapur seberapa yang ada, aku dan rakan-rakan yang lain seterusnya pergi ke tepi pantai untuk mengikuti senamrobik dan beberapa sukan pantai bersama adik-adik. Setelah semuannya kekeyangan, kami diminta ke khemah pusat untuk sesi taklimat kelas ‘Navigasi’ dan ‘Jungle Trekking’ yang di ajar oleh pensyarahku sendiri iaitu En Hisyam Bin Che Mat. Kami kemudiannya diberi kompas dan peta setiap kumpulan dan diajar cara menggunakan peta dan kompas dengan betul. Setelah sesi taklimat selesai, kami telah dibahagikan kepada 3 kumpulan di mana kumpulan aku telah digabungkan bersama dengan kumpulan 1. Aku bersama ahli kumpulan 4 yang terdiri daripada aku sendiri, Abang Fauzi, Kak Kamisah dan juga Sharifah Noor. Manakala ahli kumpulan 1 pula terdiri daripada Aslina, Khairul, Brian dan Kak Zamzami. Kami telah diiringi oleh seorang fasilitator iaitu En Mohamad Hafiz Bin Handran yang berasal dari Sarawak. Sebelum memulakan aktiviti ini, semua kumpulan telah melakukan sedikit senaman ringan bagi mengelakkan kekejangan otot sewaktu melakukan ‘Jungle Trekking’ selama berada di dalam hutan. Kami juga sempat menyanyi beramai-ramai lagu ‘Senyum’ sebagai pencetus semangat sepanjang perjalanan nanti. Sewaktu perjalanan, kami telah diberikan peta Pulau Kapas dan kompas sebagai panduan serta dibekalkan dengan nasi goreng, roti dan air mineral untuk mengalas perut.

0930 pg – 0130 tengah hari
Setelah semuanya telah bersedia kami akhirnya mula bergerak dari starting point tepat jam 9.45 pagi. Check point kami yang pertama ialah ke Pulau Dedap. Kami telah diberi peluang setiap seorang secara bergilir-gilir oleh En Hafiz untuk mencuba membaca kompas dan mengira langkah. Seterusnya kami terus ke check point yang kedua iaitu ke Manara Api. Untuk ke Menara Api kami telah melalui Stesen Sistem Solar Hibrid Pulau Kapas seterusnya melalui Kapas Turtle Valley dan akhirnya terpaksa menaiki tangga yang agak tinggi untuk menjejak Menara Api. Agak semput juga pernafasan masing-masing untuk sampai ke puncak. Akhirnya sampai juga kami ke Menara Api. Sempat pula bergambar walaupun dengan keadaan cuaca panas dan keletihan. Kami kemudiannya menuju ke check point seterusnya iaitu ke Pasir Panjang. Sewaktu bergerak ke Pasir Panjang kami telah tersesat. Nasib kami tersedar agak awal dan memulakan kembali langkah kami mencari check point seterusnya. Kalau tidak sudah tentu semakin jauh perjalanan kami. Perjalanan diteruskan dan kami sedikit keliru dengan keadaan muka bumi dengan gambaran di dalam peta. Mungkin kami tersesat lagi. Akhirnya kami terpaksa menggunakan khidmat pemilik chalet di situ untuk mencari check point seterusnya dan berjaya menemuinya. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Teluk Gemia. Perjalanan kami ketika itu amat lancar dan kerjasama yang diberikan oleh ahli kumpulan ternyata amat memberansangkan. Ternyata sikap tolong menolong antara satu sama lain memainkan peranan penting dalam kerja berpasukan. Laluan di dalam hutan ada kalanya menyukarkan pergerakkan kami, namun atas semangat yang diberikan kami akhirnya selamat sampai ke destinasi ditujui iaitu Teluk Gemia. Sampai sahaja di sini, kami telah bertemu dengan pelajar ‘degree’ sedang melakukan snorkeling setelah letih dan berehat selepas ekspedisi kayak. Kami kemudiannya berhenti berehat seketika sambil menikmati nasi goreng dan roti yang telah dibekalkan sebagai pengisi perut yang agak kelaparan. Selesai berehat, kami bergerak kembali untuk meneruskan perjalanan ke check point seterusnya dan akhirnya kembali ke tapak perkhemahan tepat pada pukul 1.30 tengah hari. Sebelum beredar En Hafiz telah melakukan ‘Post Mortem’ sepanjang perjalanan kami tadi. Bersyukur kepada tuhan kami semuanya selamat sampai dan berjaya menyempurnakan misi kami pada hari ini walaupun kami tidak sempat ke puncak 105. Terima kasih kepada En Hafiz kerana menurunkan segala ilmu tentang navigasi ini dengan seilkhlas hati. Beliau juga banyak membantu kami pada hari itu dan tanpa beliau mungkin kami sudah lama tersesat. Kami kemudiannya berehat seketika sementara menunggu kumpulan lain sampai di tapak perkhemahan. Dalam pada kami berehat-rehat kami telah dimaklumkan oleh En Hisyam bahawa sebentar lagi kami akan melakukan satu lagi ujian iaitu ‘Water Confidence’. Alamak inilah satu-satunya ujian yang amat aku geruni. Mahu tidaknya, aku ni penakut sungguh dengan air. Aku hanya memohon agar aku berada di dalam keadaan selamat nanti.
















0230 petang – 0400 petang
Kini tibalah masanya ujian yang dinanti-nantikan oleh semua peserta. Kami semua diminta bersiap sedia untuk melakukan ‘Water Confidence’. Sebelum melakukan ‘Water Confidence’ kami telah diberi penerangan serba ringkas oleh fasilitator seterusnya iaitu En Mohamad Rafsan Bin Saadun. Kami akan di bawa ke tengah laut, dan akan dicampakkan seorang demi seorang ke laut dalam jarak yang berbeza antara satu sama lain. Kami kemudiannya akan mencari rakan-rakan sekumpulan dan berenang ke tepian pantai bersama-sama. Aku kumpulan 4 adalah kumpulan pertama yang akan di bawa ke tengah lautan untuk melakukan ujian ini. Kami di bawa menaiki bot dan akulah orang pertama yang melakukan terjunan ke dalam laut. Aku hanya mampu berisgtifar semoga dipermudahkan cabaran ku pada hari ini. Jarak kami untuk ke tepian pantai adalah lebih kurang sejauh 2 kilometer. Terasa sayup-sayup sahaja pemandangan ke arah pantai. Perjuangan mesti diteruskan dan Alhamdulillah aku dibantu oleh rakan sekumpulanku untuk sama-sama berenang. Aku diajar cara-cara berenang oleh rakanku iaitu Sharifah Noor. Tidak ketinggalan, Abang Fauzi dan Kak Kamisah juga banyak membantuku dengan memberi kata-kata semangat. Cuaca panas terik telah menyukarkan ku untuk berenang secara telentang. Aku hanya mampu memejamkan mata kerana tidak tahan dengan pancaran cahaya matahari yang amat terik pada petang itu. Akhirnya kami berjaya sampai di tepian pantai tanpa sebarang kecederaan dan kemalangan yang boleh memudaratkan.



0400 petang – 0700 malam
Selesai melakukan ‘Water Confidence’ kami kemudiannya diminta mempersiapkan diri untuk aktiviti seterusnya iaitu ‘Abseiling’. Kami telah diberi penerangan oleh fasilitator seterusnya iaitu En Mohamad Yasir Foo Bin Mohamad Foo tentang aktiviti ini. Kami terus mengambil peralatan abseiling yang telah disediakan dan menuju ke lokasi aktiviti. En Yasir Foo bersama En Mohd Raziff yang turut membantu telah mencari lokasi aktiviti yang bersesuaian. Namun kami dimaklumkan bahawa lokasi yang dicari tidak berapa sesuai dengan aktiviti ini. Ini adalah kerana permukaan dinding batu yang mudah retak dan pecah serta keadaan bukit yang agak merbahaya. Akhirnya aktiviti ‘Abseiling’ pada petang itu terpaksa dibatalkan dan kami hanya di ajar teorinya sahaja selepas ini. Kami seterusnya pulang ke tapak perkhemahan dan terus ke kelas teori ‘Abseiling’ bertempat di khemah pusat. Segala peralatan untuk ‘Abseiling’ telah tersedia untuk diberi penerangan tentang fungsi-fungsinya. Apabila semua kumpulan berada di khemah pusat, kami kemudiannya telah diberi penerangan tentang apa itu ‘Abseiling’, cara-cara pengendalian, penggunaan peralatan serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil. Salah seorang rakanku telah menjadi model yang dibantu oleh En Yasir Foo. Ianya bertujuan untuk menunjukkan kepada kami cara-cara pengendalian ‘Abseiling’ dengan lebih terperinci dan membuatkan kami lebih faham konsepnya.
















0700 malam – 0100 pagi
Selesai teori ‘Abseiling’ kami bersurai dan mempersiapkan diri untuk mandi, mengemas diri serta solat. Setelah semuanya selesai, seperti biasa Aku, Ummi akan mengintai ke ruang dapur untuk membantu apa-apa yang patut. Malam ini kami telah disajikan dengan lauk ayam goreng berlada, sayur goreng campur, buah-buahan serta air anggur. Selesai menikmati hidangan kami meneruskan aktiviti ‘Post Mortem’ bersama En Hisyam Che Mat untuk aktiviti petang tadi iaitu Navigasi dan Jungle Trekking. Kami diminta menceritakan pengalaman masing-masing. Bersemangat betul kami menceritakan pengalaman yang diperolehi lewat petang tadi. Pengalaman yang diperolehi tidak mungkin aku dapat lupakan terutama aktiviti ‘Water Confidence’ kerana pengalaman sebegini tidak akan dapat di mana-mana tempat sekalipun. Aktiviti seterusnya kami telah menyambung kembali kelas ikatan ‘Kain Anduh’ yang ada beberapa lagi jenis ikatan yang tidak sempat dipelajari. kami kemudiannya meneruskan aktiviti ‘Orienteering’ versi ‘Lemak Manis’. Kami telah diberi klu berbentuk pantun pada setiap kumpulan untuk mencari jawapan. Setelah jawapan yang dicari ditemui kami terpaksa pula berbalas pantun dengan pihak penganjur sambil menyanyi lagu lemak manis. Lawan punya lawan tidak juga betul-betul jawapan yang diberi. Apalah agaknya jawapan sebenarnya. Pening bila memikirkannya. Puas memikirkan apa jawapannya, akhirnya jawapan yang diberikan betul dan orang yang dicari-cari tidak lain ialah Cik Siti Farah Halina Binti Mohd Redzuan. Alahai….chek manis oiii….payahnya kami dok mencari-cari hang sorang ni. Kumpulanku sepantas kilat melangkah mencari jawapan seterusnya. Dan hasilnya atas berkat kerjasama dan tolong menolong sesama kami akhirnya kami kumpulan pertama yang berjaya menjumpai harta karun yang dicari-cari.
Aktiviti sebegini amat menguji akal fikiran dan kecekapan kami. Strategi kumpulan juga amat penting dan semangat setiakawan mesti ada. Walau bagaimanapun aku amat terhibur dengan aktiviti sebegini. Satu pengalaman baru bagiku.

Lemak manis.....alah amboi2x.....
santan kelapa.... alah amboi2x..
Kupandanglah manis... ala amboi2x...
anak siapa.........

Selesai sudah aktiviti kami pada malam itu yang semakin menginjak ke awal 3.00 pagi. Kami akhirnya bersurai untuk berehat dan tidur di khemah masing-masing.


Explore Kapas Experience Challenge 09 (Part 2)

15 OGOS 2009 (SABTU)
(Ice Breaking, Management Games, Knotting, Kain Anduh, Pertolongan Cemas).

0100 pagi – 0500 pagi
Jam menunjukkan pukul satu tepat. Kami telah berhenti rehat di Hentian Rehat Temerloh untuk mengisi perut yang agak kelaparan dan membuang segala isi perut yang tersimpan. Aku dan Ummi sekadar meneguk air untuk menghilangkan rasa dahaga. Tidak tahu pula hendak makan apa lewat-lewat pagi ni. Terasa semacam hendak makan dan akhirnya Ummi sahaja yang menikmati kerang sambal keseorangan. Nikmatnya… Jam 1.45 pagi bas kemudiannya bergerak semula ke destinasi yang dituju. Pada jam 4.30 pagi bas yang kami naiki akhirnya tiba di Institut Perikanan Chendering, Terengganu. Di sini berlaku pula salah faham antara pihak Uitm dengan PDRM. Kami difahamkan bahawa kami akan berehat di Institut Perikanan ini sementara menunggu hari siang namun kami telah dihalang oleh pengawal di sini kerana tiada surat kebenaran hitam putih. Kami terpaksa menaiki bas dan mengangkut kembali barang-barang ke dalam bas. Dan akhirnya kami menuju ke masjid yang berdekatan untuk berehat sahaja di sana.

0700 pagi – 1200 tengah hari
Arghh…..laparnya perut aku ni. Bergendang-gendang perut aku dibuatnya. Malam tadi tak mahu makan sudahnya kebuluran pagi ni. Pagi itu, kami semua bersarapan di gerai makan yang berdekatan. Sebelum itu, kami semua dapat RM3 setiap seorang sebagai elaun sarapan pagi. Eh eh…aku pun dapat la. Terasa malu pulak dapat Rm3. Terima kasih! Sedapnya tidak terhingga lauk ku pagi ni. Nasi minyak dengan ayam masak tomato. Fuihh! Pagi-pagi dah pekena nasi minyak. Boleh tahan selera aku pagi ni. Kuikuikui… Selesai sarapan, kami semua melakukan senaman ringan. Aik! dah sarapan baru buat senaman. Nasib baik tak terkeluar balik nasi aku ni. Ish..ish. Selang beberapa minit kemudian, beberapa orang instructor datang menjenguk kami di masjid dan kami diminta bersiap sedia untuk ke jeti. Kami kemudiannya diminta berjalan kaki ke Institut Perikanan Chendering dengan terpaksa mengangkut barang-barang yang boleh tahan juga beratnya. Adush! berat jugak barang-barang ni. Apa boleh buat kami semua terpaksa mengangkut juga barang-barang ini sehingga ke Institut Perikanan memandangkan tidak disediakan pengangkutan. Jam 8.00 pagi kami kemudiannya beramai-ramai mengangkut barang-barang ke dalam trak PDRM untuk di bawa ke jeti. Kami juga memmunggah barang-barang di dalam trak tadi dan diletakkan serta disusun sebaiknya sementara dipunggah pula ke dalam bot. Bot tiba agak lewat pagi itu kerana menunggu sehingga air laut pasang. Jam 10.00 pagi baru lah tiba bot yang dinanti-nanti untuk proses pemunggahan barang. Setelah kerja-kerja pemunggahan barang-barang selesai, kami mula bergerak menaiki bot marin PDRM terus ke Pulau Kapas destinasi yang dituju. Cuaca pada pagi itu agak panas. Setibanya kami di Pulau Kapas, kami mula memunggah barang-barang keluar dari bot. Kami kemudian berjalan kaki menuju ke tapak perkehemahan yang sejauh lebih kurang 300 meter dari tempat kami turun dari bot. Sampai sahaja ke kawasan tapak perkhemahan, beberapa orang instructor telah bersedia menunggu kami sambil bercekak pinggang. Uihhh….gerunnya aku melihat mereka semua. Aku cuba kuatkan semangat apalah pula cabaran yang aku akan terima selepas ini. Bersiap sedia lah aku. Kami diarah meletakkan semua beg-beg dan juga barang-barang ke tepi pantai dan diminta melakukan tugas pertama. Kami diminta ke kawasan tapak perkhemahan untuk membuang semua tali-tali lama yang melilit di batang-batang pokok. Setelah semuanya selesai wisel pertama dibunyikan dan kami diminta berkumpul semula di tepi pantai. Kami diminta memasang khemah penempatan, khemah pusat, khemah peralatan, bilik mandi wanita dan membersihkan tandas. Selang beberapa minit kemudian wisel berbunyi lagi. Dan kali ini kami ditegur kerana lambat melakukan kerja-kerja yang diarahkan. Kami diberi lagi masa untuk mempersiapkan segalanya yang telah diarahkan. Semua orang menjadi kecut perut melihat wajah-wajah yang agak bengis itu. Kami sepantas kilat cuba melakukan yang terbaik pada hari itu sehinggalah selesai. Manakala aku dan beberapa orang lagi peserta telah diarah untuk memasak di dapur. Atas disebabkan kekalutan yang berlaku, kedengaran suara-suara ketidakpuasan hati dikalangan kami. Ramai yang memberontak pada tengah hari itu atas ketegasan instructor yang bertugas. Bagi aku pula, itu adalah tugas mereka. Oleh sebab itu, elok lah aku ikutkan sahaja semua arahan yang diberikan. Mungkin mereka ada sebabnya.
















0100 petang – 0400 petang
Menu kami pada tengah hari itu ialah ikan masak kicap, kangkung goreng, sambal belacan bersama ulaman, buah tembikai sebagai pemanis mulut serta air anggur sebagai pembasah tekak. Hurmmm…agak menyelerakan bagi ku. Tengah-tengah lapar sudah tentu apa sahaja yang dimasak nampak menyelerakan. Aku bersama-sama rakan-rakan yang lain terpaksa bertungkus lumus menyiapkan hidangan pada tengah hari itu memandangkan masa yang diberi terlalu singkat. Risau pula didenda nanti. Akhirnya hidangan siap terhidang di dalam talam yang disediakan. Unik bagi aku kerana kami semua akan makan beramai-ramai di dalam talam untuk setiap kumpulan. Inilah dinamakan tradisi bagi penggiat rekreasi ‘Perlu’ agaknya. Satu pengalaman baru bagiku dalam mengeratkan lagi tali silaturahim. Kami diberi masa selama 20 minit sahaja untuk makan. Agak kelam kabut dibuatnya keadaan pada waktu itu. Nasib tak tercekik dibuatnya. Selesai makan kami terpaksa pula bergegas ke tepi pantai untuk berkumpul semula untuk sedikit taklimat dari Fasilitator. Kami kemudian diperkenalkan dengan En Mazlin Bin Othman salah seorang fasilitator yang agak garang orangnya tapi comel juga. Haru dibuatnya pada waktu itu, memandangkan ada suara-suara ketidakpuasan hati dikalangan peserta. Oleh kerana ramai yang kurang senang dengan arahan yang diberikan kami telah diberi peluang untuk meluahkan perasaan masing-masing. Aku pula hanya mendiamkan diri. Aku akur dengan segala perintah dan arahan kerana aku pernah melaluinya sebelum ini. Mungkin inilah yang dinamakan cara-cara untuk mendisplinkan diri dari segi masa dan keadaan. Masa tidak mengejar kita, tapi kita yang akan mengejar masa kerana masa itu adalah emas dan kita tidak akan dapat apa yang dicari seandainya ia berlalu pergi begitu sahaja begitu jugalah dengan diri kita. Kami akhinya diberi masa secukupnya untuk mempersiapkan diri dan menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh. Aku, Ummi dan beberapa orang adik-adik terus menyelesaikan kerja-kerja memperbaiki bilik mandi kami yang tidak jauh dari penempatan khemah wanita. Arghhh….agak sedikit lega rasanya apabila segalanya selesai.

0500 petang – 0900 malam
Rimas dibuatnya dengan keadaan badan aku yang agak melekit. Aku kemudian nya pergi mempersiapkan diri untuk mandi seterusnya menunaikan solat dhuha dan maghrib. Malam itu sekali lagi aku turun ke ruang dapur untuk membantu memasak hidangan makan malam. Agak sedikit lewat aku turun ke dapur pada malam itu kerana mempersiapkan diri dan aku kemudiannya mengambil alih tugas dari rakan lain untuk memasak. Menu pada malam itu agak menarik. Terliur dibuatnya dengan masakan tom yam, telur dadar dan ulaman sebagai penambah selera, buah limau sebagai pemanis mulut serta air sirap yang menyelerakan. Selesai memasak, kami semua menikmati hidangan dengan penuh selera. Suasana makan malam ketika itu, senyap seketika mungkin masing-masing tengah lapar agaknya termasuklah aku. Aku hanya tersenyum.

0930 malam – 0200 pagi
Setelah semuanya kekenyangan, kami diminta berkumpul di khemah pusat untuk sesi taklimat dan beberapa aktiviti yang akan dilakukan. Aktiviti pertama kami pada malam itu telah dihoskan oleh pelajar Bachelor Of Sport Management iaitu aktiviti ‘Ice Breaking’. Aktiviti ini sama seperti sesi suai kenal. Kami diminta memperkenalkan diri masing-masing dengan ekspresi wajah dan gaya penuh emosi. Suasana agak riuh pada malam itu dengan gelagat para peserta. Lucu sungguh dibuatnya. Aktiviti seterusnya, kami telah bermain permainan yang dinamakan ‘Management Games’. Agak menarik permainan ini yang membuatkan keadaan menjadi riuh dan gamat dengan gelak ketawa dari para peserta. Bila difikirkan semacam kebudak-budakkan pula permainan yang diberikan. Aku layan sahaja dan yang penting aku seronok pada malam itu. Selesai permainan, kami telah diperkenalkan dengan semua fasilitator yang terlibat pada program kali ini. Seorang demi seorang telah memperkenalkan diri. Malam itu aku telah dikenakan oleh salah seorang fasilitator. Ya Allah! Malunya aku pada malam itu. Beliau memperkenalkan diri sebagai ‘Rahsia’. Aku hanya menatap wajah beliau penuh minat untuk mengetahui siapakah beliau dan akhirnya aku ditanya soalan cepu emas iaitu berikan nama penuh beliau siap nama bapa sekali. Ah! Sudah, habis aku. Sudah tentu aku tidak tahu kerana beliau langsung tidak beritahu nama penuh beliau. Sememangnya aku tidak boleh memberikan jawapan. Terkulat-kulat aku dibuatnya. Terdengar juga suara sumbang dari kejauhan yang memarahi aku kerana tidak boleh memberikan jawapan. Salah kah aku? Aku jadi bingung. Aku duduk betul-betul dihadapan beliau. Kalau beliau beritahu namanya sudah tentu aku tahu. Arghh….pedulikan kata-kata mereka. Apa boleh buat terima sahaja apa yang dikata. Kami akhirnya didenda oleh beliau iaitu diminta menyanyi lagi Jalur Gemilang beramai-ramai sambil menari. Geli hati juga dibuatnya. Rasa seronok pun ada. Akhirnya beliau memperkenalkan diri sebagai Mohd Hazriq Bin Abu Zarin. Uihhh….nampak orangnya lembut sahaja tapi boleh tahan juga tegasnya. Hihihihi…malunya aku.
Selesai ‘Management Games’ kami seterusnya ke kelas ‘Knotting’ yang diajar oleh En Mohd Elham Bin Mohd Sayuti. Kami telah diajar cara-cara pelbagai jenis ikatan tali. Kami dipecahkan mengikut kumpulan dan diadakan seolah-olah pertandingan. Setiap wakil dari kumpulan diminta membuat satu jenis ikatan dan diambil masanya. Kumpulan yang cepat dan betul kemudiannya diberi markah. Kelam kabut dibuatnya ketika itu. Masing-masing berlumba-lumba untuk menang. Bertuah sungguh kami pada malam itu kerana dapat belajar dengan lebih mendalam cara-cara ikatan tali. Selesai kelas ‘Knoting’ kelas ‘Pertolongan Cemas – First Aid’ pula menyusul. En Mazlin Bin Othman pula telah mengambil alih tugas menerangkan kepada kami tentang apa itu pertolongan cemas. Selain dari itu kami diberi penerangan tentang ‘Alat pemadam api’ dan tanda-tanda serta kesan terhadap serangan jantung. Penamat kelas pada malam itu kami telah diajar tentang ikatan ‘Kain Anduh’. Kelas ini diambil alih oleh fasilitator seterusnya iaitu En Mohamad Yasir Foo Bin Mohamad Foo. Antara ikatan kain anduh yang telah diajar pada malam itu ialah Lange Arm sling, Hand Dressing, Cuff & Collar dan juga ikatan Donat. Kelas akhirnya tamat tepat pada jam 2.00 pagi. Kami mula beransur pulang ke khemah masing-masing untuk berehat dan tidur. Tapi aku pula terpaksa berjaga pada pagi itu kerana giliran kawalan malam (sentri). Aduh…beratnya mata aku pagi itu. Oleh kerana aku ada tanggung jawab pada pagi itu aku gagahkan juga diri ini untuk sama-sama membantu berkawal malam. Dan akhirnya dapat juga aku rehatkan diri pada pukul 4.00 pagi. Dapatlah juga aku lelapkan mata walau sekejap.




Ahad, 30 Ogos 2009

Explore Kapas Experience Challenge 2009

14 OGOS 2009 (JUMAAT)
(Perasmian Explore Kapas Experience Challenge)

0700 pagi – 0830 pagi

Hari ni bermulalah program amali perkhemahan akhir outdoor recreation yang amat ditunggu-tunggu oleh semua pelajar E-Pjj dan Plk-PDRM. Terasa hati makin berdebar-debar memikirkan detik-detik yang bakal terjadi dan yang akan terjadi sepanjang berada di sana. Apa yang berada di dalam pemikiranku ketika ini hanyalah satu iaitu ingin lebih mendalami ilmu rekreasi yang akan diperturunkan nanti. Namun rasa gelisah hati ini tetap ada apakah cabaran dan rintangan yang bakal ditempuhi. Cuma dipanjangkan doa dan harapan moga segala-galanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan perjalanan. Pagi ini awal-awal lagi aku sudah bangun mempersiapkan diri untuk menghadiri Majlis Perasmian Explore Kapas Experience Challenge 09 di falkulti Sains Sukan Dan Rekreasi. Tepat jam 8.00 aku mengorak langkah ke fakulti untuk sama-sama merasmikan Explore Kapas ini dengan menaiki motorsikal. Agak lewat juga aku sampai di fakulti memandangkan rakan-rakanku sudah sampai dari aku. Aku kemudiannya diberi sepasang baju korporat untuk dipakai semasa majis perasmian yang direka khas oleh pelajar Plk-PDRM.

0900 pagi – 1030 pagi
Akhirnya Majlis Perasmian Explore Kapas Challenge 09 telah memulakan perasmian dengan ucapan kata-kata aluan dari Timbalan Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi iaitu En Bob. Program pada kali ini telah dianjurkan oleh pelajar Bachelor Of Sport Management bersama-sama dengan Plk–PDRM dan E-Pjj Diploma In Sport Studies Uitm Shah Alam. Program akan bermula pada 14 Ogos 09 hinggalah 19 Ogos 09. Seramai 64 orang peserta terdiri dari 42 orang pelajar ijazah, 18 dari PLK – PDRM, 6 orang dari EPJJ, 3 orang pensyarah, 4 orang kakitangan pengiring dan 10 orang fasilitator. Majlis juga telah disempurnakan dengan ucapan dari pensyarah yang dihormati iaitu En Hisyam Che Mat. Seramai 22 orang pelajar diploma telah dipecahkan kepada 6 kumpulan yang terdiri dari 4 orang setiap kumpulan. Setiap kumpulan diminta meletakkan nama kumpulan yang diambil dari nama gunung-gunung di Malaysia. Agak menarik sekali bagi aku. Gunung apa ya? Selesai majlis kami kemudiannya diminta untuk sesi bergambar beramai-ramai untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan.

1030 pagi - 0130 petang
Selesai sahaja sesi bergambar, kami kemudian bergegas ke bilik stor peralatan rekreasi fakulti Sains Sukan dan Rekreasi yang berhampiran dengan pusat gymnasium. Sebanyak 4 buah trak PDRM telah menanti untuk proses memunggah barang. Kami kemudiannya bersama-sama memunggah barang-barang dan peralatan yang perlu dibawa nanti ke dalam trak. Cuaca yang agak terik pada hari itu membuatkan kami terasa keletihan. Namun kerja-kerja memunggah barang harus diteruskan. Aku dimaklumkan bahawa kerja-kerja memunggah barang telah mengambil masa sehingga pukul 2.00 petang. Setelah kerja-kerja pemunggahan barang-barang selesai, Aku, Ummi dan Joe bergegas pula ke Wisma Pkns untuk mencari beberapa lagi barang keperluan yang masih belum cukup untuk di bawa ke Pulau Kapas nanti.
















0300 petang – 0900 malam
Setelah barang-barang keperluan sudah dicari, tepat jam 3.00 petang aku, Ummi dan Joe akhirnya pulang ke rumah masing-masing untuk mempersiapkan diri. Pening juga dibuatnya barang apa lagi yang perlu di bawa ke Pulau Kapas nanti. Sudah bermacam-macam keperluan yang aku sumbat dalam beg ni. Risau juga kalau keperluan sendiri tidak cukup nanti. Apa yang penting biar berlebih jangan berkurang sudah lah. Dalam pada aku mempersiapkan diri, hujan diluar rumah makin mencurah-curah lebatnya. Kalau dapat tidur seronoknya. Mahukan tidak dari pagi tadi tenaga ni asyik berkerja tanpa rehat. Tapi nanti dalam bas sudah tentu boleh tidur sepuas-puasnya. Jam 6.30 petang aku mula bergerak ke Stesen Minyak Shell di MRR2 Gombak untuk menunggu bas dari Uitm sampai. Aku, Ummi dan Joe telah berjanji dengan urusetia pengangkutan program untuk tunggu di sini. Keadaan di luar masih hujan dan agak sejuk. Kami bertiga hanya menunggu di dalam kereta sahaja. Akhirnya bas yang dinanti tiba dan kami bergerak ke Marang, Terengganu tepat jam 8.45 malam. Sepanjang perjalanan kami telah disajikan dengan suara-suara lemak merdu adik-adik yang berkaroake di dalam bas. Agak bingit juga suasana di dalam bas pada malam itu, tidak kurang juga yang sudah terlena dibuai mimpi-mimpi indah agaknya. Perjalanan masih diteruskan. Aku masih belum tidur. Kalau tidur pun asyik terganggu sahaja. Bila memikirkan keadaan bas yang ada kalanya terumbang-ambing semacam naik bot pula membuatkan aku tidak tenang tidur dibuatnya. Risaunya aku. Moga perjalanan pada malam itu berjalan dengan lancar dan selamat.

Khamis, 27 Ogos 2009

Berkayak Di Tasik Shah Alam

Pada 8 Ogos 09 hari Sabtu yang lalu jam 8.00 pagi kami pelajar E-pjj telah ke Tasik Shah Alam untuk latihan amali kayak. Kami dimaklumkan pelajar dari PDRM-PLK juga turut sama pada hari itu. Aku lah orang pertama yang sampai di Tasik Shah Alam. Lama juga aku menunggu, manalah mereka semua ini. Mungkin tersangkut di mana-mana agaknya. Maklumlah awal pagi Sabtu macam-macam aktiviti yang hendak dilakukan. Setelah hampir sejam menunggu akhirnya kawan-kawanku sampai jua. Selang beberapa minit selepas itu En Hisyam pula sampai di situ bersama keluarganya. Sementara menunggu ketibaan semua pelajar, akhirnya lori untuk mengangkut kayak sampai di Tasik Shah Alam bersama-sama dengan pelajar PDRM-PLK. Uihhhh....gerun gak tengok kawan-kawan PDRM ni. Dalam pemikiran aku, mesti handal-handal belaka mereka semua ini. Dari gaya mereka seperti sudah biasa berkayak. Tidak terlawan la aku gamaknya. Mahu tidaknya, sudah terlalu lama aku tidak berkayak. Rasanya kali terakhir aku berkayak pada tahun 2005. Hampir 4 tahun aku tidak merasa duduk dalam kayak sambil pegang pedal..huhuhuhu...risaunya aku. Rupa-rupanya kawan baiknya ku juga berperasaan sama seperti aku.Risau! Setelah semua kayak diangkut ke persisiran tasik, kami semua diminta berkumpul untuk sedikit taklimat dari En Hisyam berkenaan pengendalian kayak. Kami telah diajar asas-asas pengendalian kayak, jenis-jenis isyarat berkayak, penggunaan kayak dan fungsi kayak serta diberi penerangan mengenai jenis-jenis kayak juga peralatan kayak yang diperlukan ketika berkayak. Selesai taklimat kami semua melakukan sedikit senaman regangan ringkas dari wakil PDRM. Kami juga di ajar cara-cara pengendalian kayak dan cara memegang pedal. Berehat seketika, kami kemudian diminta memilih pasangan masing-masing untuk memulakan latihan amali kayak. Aku memilih Ummi sebagai pasanganku. Kami berdua sama-sama berdoa semoga segalanya berjalan dengan lancar. Kami kemudian dilepaskan satu persatu pada jam 10.30 pagi. Kami telah diminta membuat rafting di tengah tasik untuk sesi penerangan oleh beberapa orang instructor terlatih. Setelah diberi penerangan kami semua kemudiannya berkayak membuat pusingan keliling tasik. Tiba di suatu kawasan kami diminta untuk melakukan capsize. Kami telah dipecahkan beberapa kumpulan bersama instructor yang akan membantu. Kami diminta capsize bergilir-gilir. Dan akhirnya aku dan Ummi diminta melakukan capsize. Tercungap-cungap dibuatnya aku di dalam air tasik tu sehingga terminum air tasik yang kotor tu...bwekkkk....eiiii tak mau. Tapi apa kan daya telan la juga. Kesian Ummi, terlajak jauh dari kayak. Aku cuba menarik Ummi ketepi kayak tapi tanganku tidak sampai ke arahnya. Aku lihat Ummi langsung tidak bergerak dari tempat dia jatuh. Aku juga cuba memberi sedikit kata semangat kepada Ummi supaya beliau tidak berpatah semangat. Kesian Ummi. Mujurlah ada pasangan dari PDRM yang datang membantu. Itu pun ditegah oleh Instructor yang mengatakan kami baru hendak belajar, jadi biarlah kami cuba naik sendiri dulu tanpa bantuan. Tetapi apabila melihat kami agak kelam kabut ketika itu, dengan kayak yang sudah penuh dengan air kerana lambat angkat membuatkan mereka akhirnya datang juga membantu. Akhirnya berjaya juga naik ke atas kayak. Terima kasih kepada mereka yang datang membantu. Setelah semuanya melakukan capsize kami diminta sekali lagi membuat rafting untuk sesi perpindahan pasangan dari satu kayak kepada kayak yang lain. Uihhh...risau juga dibuatnya. Mana kan tidak semuanya orang yang ber'saiz' besar yang dipilih untuk bertukar tempat. Risau pula jatuh tidak pun patah pulak kayak uitm ni. Tapi Alhamdulillah sumuanya selamat. Setelah semuanya selesai, kami semua sempat bergambar kenangan di Tasik Shah Alam ini ketika melakukan latihan amali kayak. Kami kemudiannya diminta pulang ke tepi tasik. Berakhirlah sesi latihan amali kayak kami pada hari ini. Kami kemudiannya mengangkut semula kayak yang telah digunakan ke dalam lori untuk di bawa semula ke stor rekreasi uitm. Sebelum pulang kami sempat berbincang mengenai persiapan ke Pulau Kapas yang akan datang. Setelah semuanya selesai pada jam 1.15 petang kami pulang ke destinasi masing-masing. Terima kasih kepada En Hisyam,kawan-kawan baru, Instructor yang bertugas dan juga adik-adik degree yang turut membantu dalam sesi latihan amali kayak ini. Salam.






Mari Belajar Ikatan Tali

Pada 26 Julai 09 yang lalu iaitu pada seminar kedua pembelajaran, kami telah diajar cara-cara mengikat tali dalam beberapa jenis ikatan. Kami sekelas telah diminta untuk membawa sebanyak 3 meter tali setiap seorang untuk mencuba beberapa jenis ikatan. Jenuh juga kami semua mencuba mengikat tali. Ada yang tersimpul-simpul tali, ada juga sehingga bersilang-silang tangan mencuba membuat ikatan yang telah diajar. Geli hati juga dibuatnya. Akhirnya kami berjaya juga mencuba beberapa ikatan tali setelah berhempas pulas. Huhuhu...
Terdapat beberapa jenis ikatan tali yang telah dipelajari pada hari itu contohnya seperti:
1. Reef Knot
2. Figure Of Eight Knot
3. Figure Of Eight Loop
4. Fisherman's Knot
5. Bowline
6. Sheet Bend
7. Butterfly Knot
dan berbagai-bagai jenis lagi ikatan yang dipelajari. Terima kasih kepada En Hisyam kerana sudi mengajar kami cara-cara ikatan tali ini walaupun jenuh juga mengajar kami yang tak berapa faham ini.Hehehe...


Sabtu, 22 Ogos 2009

Inilah Aku...

Dah lama aku tak update blog aku ni...hampir-hampir nak jadi jeruk...kuikuikui...siap kena tegur dengan En Hisyam lagi, bila nak update blog masing-masing. Jom kita bercerita tentang sejarahku dulu-dulu bagaimana aku boleh terjebak di dalam dunia rekreasi sehingga lah sekarang....Pada asalnya memang sejak dari aku sekolah rendah lagi aku mula menunjukkan minat terhadap rekreasi dengan mengikuti beberapa program rombongan sekolah. Program pertama yang pernah aku ikuti ialah ketika pihak sekolah mengadakan perkhemahan di Pusat Rekreasi Mimaland, Gombak. Sekarang dah tak ada dah tempat tu...Ketika itu aku hanya keseorangan tanpa teman...ayah membenarkan aku mengikuti program ini tanpa rasa risau walaupun ketika itu aku baru berusia 10 tahun. Tamat sekolah rendah aku melangkah ke sekolah menengah...zaman aku ketika sekitar tahun 90an sebut saja program 'RAKAN MUDA' berpusu-pusu orang ingin menyertainya. Aku amat teruja untuk sama-sama menjadi salah seorang ahli Rakan Rekreasi dan Cinta Alam...Sejak menjadi ahli ada saja tawaran untuk mengikuti berbagai-bagai jenis program rekreasi, namun disebabkan ketika itu kewangan agak sedikit gawat dengan yuran penyertaan yang agak mahal dan tiada pula keperluan untuk di bawa maka terbantut la keinginan ku sehinggalah aku meningkat remaja tanpa sebarang aktiviti yang aku ikuti...Aku akhirnya melangkah ke alam pekerjaan...dan dari sini lah minat aku kembali berputik kepada aktiviti rekreasi...kebetulan tempat ku bekerja sekarang mempunyai kelab dan persatuan yang melibatkan aktiviti rekreasi...Aku mula menjinakkan diri mengikuti beberapa program yang telah dianjurkan. Seronok sangat sebab dah terlepas gian....hahahaha...Aku mula kembali aktif sehingga lah aku dilantik menjadi salah seorang ahli jawatankuasa Kelab Rekreasi di pejabat ku sekarang. Berbagai -bagai aktiviti dan program yang telah aku sertai dan kendalikan sepanjang berkecimpung dalam bidang ini. Tidak terhingga seberapa banyak pengalaman yang telah aku timba selama ini. Namun sekadar pengalaman bagiku belum cukup tanpa ilmu di dada. Oleh sebab itu lah selagi masih bernafas selagi itulah akan ku cari ilmu itu walau di mana-mana sekalipun. Berbanyak-banyak terima kasih aku ucapkan kepada 'sifu' ku iaitu En Ismail Bin Yamat kerana dia lah aku mengenali dunia rekreasi yang penuh dengan warna-warni ini. Beliau adalah seorang jurulatih rekreasi luar yang diiktiraf oleh Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia dan juga salah seorang orang penting di dalam Persatuan Rekreasi Nasional Malaysia (PRIMA) sekitar tahun 90an hingga 2000. Bagiku tanpa rekreasi tidak berseri la hari-hariku. Dan kini ilmuku semakin bertambah setelah aku mengikuti subjek outdoor recreation pada semester kali ini. En Hisyam Che Mat sebagai pensyarahku. Beliau banyak membantu aku lebih mendalami ilmu rekreasi selain memberi lebih pendedahan dalam subjek ini. Terima kasih tidak terhingga kepada sifu-sifuku. Ini lah antara serba sedikit kisah aku dan rekreasi. Lalalala...